Seorang wanita merakamkan gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membentangan Rang Undang-undang (RUU) Persempadanan Semula Kawasan Pilihan Raya yang disiarkan secara langsung di Parlimen hari ini. foto HAZROL ZAINAL, 28 MAC 2018.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membentangkan bacaan pertama Rang undang-undang (RUU) kajian semula persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya persekutuan dan negeri-negeri Tanah Melayu di Dewan Rakyat hari ini walaupun tertangguh selama 20 minit selepas berlaku kekecohan dicetuskan blok pembangkang.

Najib berkata, RUU persempadanan semula tersebut yang kali terakhir dilaksanakan pada 2003 bertujuan membantu wakil rakyat dalam meningkatkan mutu perkhidmatan mereka kepada pengundi di kawasan masing-masing dan menafikan dakwaan ia dibuat semata-mata untuk menguntungkan sebelah pihak sahaja.

“Dengan demikian adalah diharapkan agar syor-syor tersebut dapat membantu wakil-wakil rakyat untuk menyampaikan perkhidmatan dengan lebih cekap dan berkesan kepada semua pemilih di dalam bahagian pilihan raya masing-masing.

“Ini memberi kelebihan kepada wakil-wakil rakyat untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan masing-masing sekali gus menafikan persepsi dan dakwaan yang tidak benar lagi berasas bahawa syor-syor ini hanya menguntungkan sesetengah pihak sahaja,” kata beliau di Dewan Rakyat.

Dengan persempadanan baharu ini, menyaksikan jumlah daftar pemilih meningkat sebanyak 36 peratus berbanding daftar pemilih yang digunakan pada tahun 2003 iaitu sebanyak 11,379,352 orang.

Jelas Najib, kerajaan tidak pernah mengganggu mahu pun mempengaruhi
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sepanjang proses persempadanan semula dilakukan dan menghormati keputusan yang sudah dibuat demi kebaikan semua serta demi kepentingan rakyat.

“Sungguhpun begitu kerajaan tidak mengganggu mahu pun mempengaruhi SPR dalam melaksanakan tugas-tugas mereka, malah kerajaan juga sentiasa menghormati keputusan yang dibuat SPR untuk kebaikan demi kepentingan rakyat dan negara,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Dewan Rakyat terpaksa berhenti rehat hampir 20 minit ekoran kekecohan yang berlaku akibat bantahan ahli parlimen Pakatan Harapan (PH).

Kekecohan itu menyaksikan Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang digantung selama enam bulan daripada menghadiri sidang Dewan.

Kit Siang pada mulanya tidak mahu meninggalkan dewan sehingga Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia terpaksa mengambil tindakan tegas dengan memanggil pihak polis untuk membawanya keluar.

Usul dibacakan Najib kemudiannya disokong oleh ahli Parlimen Bagan Datuk yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Pandikar kemudiannya menetapkan setiap Ahli Parlimen diberikan tempoh 10 minit untuk berbahas namun dibantah Ahli Parlimen PH.

Beliau menetapkan lima Ahli Parlimen PH dan enam Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) membahaskan usul tersebut.

Sesi perbahasan kemudiannya dimulakan Ahli Parlimen Sungai Besar Budiman Zohdi. – MalaysiaGazette