Home Nasional 394 projek naik taraf sekolah daif guna bajet 2018

394 projek naik taraf sekolah daif guna bajet 2018

Mahdzir Khalid

KUALA LUMPUR – Sebanyak 394 projek menaiktaraf atau membina bangunan baharu di sekolah-sekolah daif di seluruh negara sedang dilaksanakan menerusi peruntukkan yang telah diumumkan dalam Bajet 2018 pada Oktober tahun lalu.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, daripada jumlah itu sebanyak 158 projek dilaksanakan untuk sekolah-sekolah daif di Semenanjung Malaysia, 117 projek di Sabah sementara 116 di Sarawak.

“Semua projek di Semenanjung dilaksanakan sepenuhnya oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), manakala di Sabah dan Sarawak pelaksanaan projek dibahagikan antara Kementerian Pendidikan dan JKR negeri.

“Surat setuju terima untuk melaksanakan projek-projek tersebut telah pun dikeluarkan pada Februari lalu dan sekarang kerja-kerja menaiktaraf atau membina bangunan baharu sedang dilaksanakan menerusi kaedah sistem binaan berindustri (IBS),” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Dr Mansor Abdul Rahman (BN-Sik) yang ingin tahu jumlah sekolah-sekolah daif yang telah dan sedang dinaiktaraf sejak Bajet 2018 diluluskan dan kriteria yang menentukan pelaksanaan projek itu.

Mahdzir berkata, kedaifan sesebuah sekolah yang ditentukan berdasarkan keadaan fizikal bangunan yang tidak sempurna, tidak berfungsi, tidak selamat dan mendatangkan ancaman bahaya kepada penghuni.

Dalam pembentangan Bajet 2018 yang lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan peruntukan RM2.5 bilion untuk menaiktaraf dan membina semula sekolah daif di seluruh negara yang dibahagikan mengikut wilayah iaitu RM500 juta bagi sekolah-sekolah di Semenanjung dan masing-masing RM1 bilion bagi Sabah serta Sarawak. – MalaysiaGazette