Home Utama Agihan dana ASB2 6.75 sen, dana RM10 bilion hampir habis

Agihan dana ASB2 6.75 sen, dana RM10 bilion hampir habis

Pengerusi Permodalan Nasional Bhd (PNB), Tan Sri Abdul Wahid Omar dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad (kanan) mengumumkan pengagihan pendapatan selepas selesai membentangkan Prestasi Tahunan PNB bagi Tahun 2017 dan Prestasi Suku Pertama 2018 di Menara PNB, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 29 MAC 2018

KUALA LUMPUR- Amanah Saham Nasional Bhd. (ASNB) mengumumkan pengagihan pendapatan Amanah Saham Bumiputera 2 sebanyak 6.75 sen bagi tahun berakhir 31 Mac 2018 dengan pembayaran keseluruhan sebanyak RM562.9 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Bhd. Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, dana amanah harga tetap bersaiz RM10 bilion yang dilancarkan Perdan Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada April 2014 itu sudah hampir habis dilanggan.

“Ketika ini, kira-kira RM9.5 bilion dana telah berjaya dilanggan dan kami boleh katakan ia sudah habis,” katanya ketika membentangkan Laporan Tahunan PNB bagi tahun kewangan 2017 di sini hari ini.

Di majlis yang sama, Pengerusi PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar turut mengumumkan pengagihan pendapatan kepada empat lagi dana yang diuruskan ASNB iaitu Amanah Saham Malaysia (ASM) iaitu 6.75 sen dan tiga dana di bawah payung Amanah Saham Gemilang (ASG) iaitu ASG-Pendidikan (4.80 sen), ASG-Kesihatan (5.20 sen) dan ASG-Persaraan (5.15 sen) dengan keseluruhan pembayaran agihan pendapatan kepada kelima-lima dana berkenaan adalah RM1.88 bilion.

Katanya, prestasi positif itu adalah seiring dengan strategi PNB untuk memberi fokus kepada dana harga berubah-ubah untuk menjana pulangan keseluruhan kepada pemegang unit.

“Prestasi lebih baik ini adalah selaras dengan tumpuan kepada yang memberi pulangan seimbang melalui pelaburan dalam ekuiti dan pendapatan tetap,” katanya.

Berkuatkuasa 31 Mac ini, PNB akan mengedarkan penyata agihan pendapatan, laporan rahunan dan laporan interim dana harga berbeza kepada semua pemegang unit menerusi medium elektronik.

Kesemua penyata akan dihantar ke alamat emel pemegang unit manakala buku laporan tahunan dan interim boleh diakses melalui portal www.asnb.com.my.-MalaysiaGazette