Home Utama Kerja turap jalan pun Selangor tunggu bantuan

Kerja turap jalan pun Selangor tunggu bantuan

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap pada Majlis Konvokesyen Program Diploma Eksekutif Pembangunan Luar Bandar INFRA-UCAM dan Majlis Penutup Program Sijil Tadbir Urus Desa INFRA-UNIKL di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 29 MAC 2018

KUALA LUMPUR – Kerajaan Selangor dibidas kerana sering menguar-uarkan kekayaan yang diraih selepas merampas negeri itu daripada Barisan Nasional (BN) tetapi tidak mampu mengeluarkan peruntukan untuk kawasan kampung.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, parti yang memerintah Selangor hanya mengharapkan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan walaupun untuk kerja-kerja menaik taraf jalan di kawasan luar bandar.

Oleh itu, katanya Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) perlu memberi kesedaran kepada pengundi di negeri itu untuk mengembalikan tampuk pemerintahan kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya nanti.

“Sebab itu kita harap JKKK di zon tengah seperti Selangor dapat membantu kita rampas balik daripada pembangkang. Cukuplah tidak apa pun yang dibuat untuk orang Melayu.

“Duit banyak tapi nak buat jalan kampung yang kecik-kecik pun harapkan Kerajaan Persekutuan.

“Kalau semua harap Kerajaan Persekutuan tidak payah memerintah, biar BN memerintah Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada majlis Konvokesyen Program Diploma Eksekutif Pembangunan Luar Bandar INFRA-UCAM dan majlis penutup Program Sijil Urus Tadbir Desa INFRA-UNIKL, Zon Tengah/Selatan.

Tambah beliau, kumpulan JKKK di seluruh negara juga perlu sentiasa menjadi barisan hadapan untuk mempertahankan Kerajaan Persekutuan demi memastikan hak-hak kawasan kampung dan luar bandar sentiasa terbela.

“Kalau orang main-main memerintah apa yang ada akan ditarik balik dan dirampas, jangan kita biarkan.

“Walaupun  saya tahu JKKK penyokong kerajaan tetapi anda mesti menjadi jeneral hadapan yang mempertahankan kerajaan di peringkat akar umbi, katanya lagi. -MalaysiaGazette