Home Nasional Naikkan bayaran bulan Bantuan Orang Tua – PAC

Naikkan bayaran bulan Bantuan Orang Tua – PAC

Hasan Arifin

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) perlu meningkatkan kadar bantuan bulanan Bantuan Orang Tua (BOT) selaras dengan kenaikan kos sara hidup.

Malah, kementerian itu perlu mengkaji semula penerima bantuan BOT bagi penelitian lanjutan tempoh bantuan supaya bantuan yang diterima tidak terputus atau tertangguh.

Perkara itu disyorkan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang membentangkan laporan berhubung Program Bantuan dan Perkhidmatan Warga Emas, susulan pembentangan Laporan
Ketua Audit Negara Tahun 2016, Siri 1.

PAC mahu tinjauan dan pemantauan lebih kerap di lapangan oleh KPWKM dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan mahu JKM sediakan latihan khusus kepada kakitangan PAWE dalam menjaga dan mengurus warga emas dengan lebih profesional

Agensi-agensi penguatkuasa diminta memberi maklumat berhubung siasatan mereka terhadap salah guna bantuan geran PAWE, kata PAC dalam kenyataannya di sini.

Dalam mesyuarat prosiding, PAC telah membangkitkan beberapa isu termasuk lima daripada 12 Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah yang dilawati tidak mematuhi arahan Ketua Pengarah JKM yang mengkehendaki BOT dibuat melalui bank selepas mendapati pembayaran tunai melibatkan wang tunai sebanyak RM547,200 pada November 2016.

Isu-isu tersebut adalah terdapat kelemahan dalam agihan BOT seperti pengiraan wang secara beramai-ramai tanpa had; kelemahan proses pengesahan, penerimaan dan pembayaran; kad tuntutan kewangan tidak lengkap dengan ciri keselamatan dan pembayaran BOT kepada penerima yang sudah meninggal dunia.

Perbelajaan sejumlah RM70,988 oleh Pusat Perkhidmatan Wang Emas (PAWE) tidak mengikut garis panduan dan tiada permohonan untuk perbelanjaan tersebut dan terdapat salah guna geran peruntukan PAWE dengan pinjaman berjumlah RM95,200 kepada penyelia dan NGO yang mengurus dan mengendalikan PAWE.

Selain tidak ada permohonan dibuat bagi lebihan belanja sejumlah RM46,733 semasa perolehan peralatan dana kelengkapan PAWE serta PAWE baru tidak beroperasi sejak penubuhannya pada November 2015. – MalaysiaGazette