Home Nasional Polis wanita sentiasa di barisan hadapan – Hamidah

Polis wanita sentiasa di barisan hadapan – Hamidah

Isteri Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Datin Seri Hamidah Khamis berucap pada Majlis Perjumpaan Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 29 MAC 2018

KUALA LUMPUR – Isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Hamidah Khamis bangga dengan semangat ditunjukkan kaum wanita dalam menyertai kerjaya mencabar seperti polis.

Beliau berkata, kejayaan ditunjukkan kaum wanita menjadi mata-mata kepada pasukan polis bagi membanteras ancaman pengganas komunis suatu ketika dahulu membuktikan mereka sama penting dengan lelaki.

“Enam dekad yang lampau rakyat menghadapi kesukaran dan kesulitan hidup. Saya teringat pesanan Allahyarhamah Khadijah Sidek melalui empat rangkap pantunnya iaitu, bunga melor bunga melati, kembang bunga petang dan pagi; biar lebur biar mati, namun tak mahu dijajah lagi.

“Semangat juang dan keberanian yang ada dalam diri wanita dahulu tidak pernah luntur hinggalah ke hari ini, cuma kini konteks perjuangannya berbeza ditambah dengan cabaran era globalisasi dan ancaman dunia siber yang semakin rancak,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap merasmikan majlis perjumpaan bersama Perkep di Pusat Dagangan Dunia Putra ({WTC) di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Ikhtisas Wanita, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Menurut Hamidah, sungguhpun anggota polis wanita telah menunjukkan semangat juang yang tinggi, namun tidak dinafikan sedikit sebanyak cabaran dunia turut terpalit kepada kewujudan mereka dalam pasukan keselamatan.

Katanya, dalam dunia korporat dan perniagaan pula semakin banyak dijalankan revolusi Perindustrian 4.0 yang akan mendatangkan impak kepada negara.

“Namun, usah bimbang kerana sejak sekian lamanya keutuhan pasukan polis yang wujud hingga ke hari ini adalah hasil kecemerlangan institusi latihan yang dijalankan latihan asas, ditambah baik dengan pengisian rohani dan jasmani individu.

“Gabungan aspek spiritual jati diri dan fizikal ini menjadikan pasukan polis wanita kita sentiasa berada di barisan hadapan. Mereka kental dan tabah menghadapi segala cabaran.

“Kita tidak boleh bergerak sendirian, kita perlukan semangat setiakawan dan kerjasama atas prinsip kekeluargaan dan kekitaan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan ahli keluarga Perkep akan penubuhan persatuan itu pada 3 Ogos 1968, adalah lambang betapa wanita sanggup berkongsi suka dan duka bukan sahaja dengan suami, malah juga dengan semua keluarga PDRM.

“Kita sama-sama menterjemahkan tanggungjawab sosial kita di peringkat dalaman terhadap kebajikan keluarga PDRM agar dapat dibela dan diberikan perhatian sewajarnya.

“Keluarga adalah segalanya, ianya adalah asas dalam pembentukan kakitangan dalam sebuah organisasi ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast