Mohamad Fuzi Harun
Mohamad Fuzi Harun

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini merakam penghargaan setiap jasa dan pengorbanan kaum ibu dalam membangunkan institusi kekeluargaan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, tidak terhitung segala khidmat bakti dan kesetiaan ditunjukkan mereka dalam menyokong setiap usaha dan agenda transformasi pembangunan negara.

“Kita sedar betapa pentingnya peranan wanita dalam pembangunan keluarga dan juga negara. Pengorbanan dicurahkan mereka tidaklah terhitung nilainya kerana wanitalah yang menjadi tulang belakang kepada kesejahteraan keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perjumpaan Perkep bersama isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Hamidah Khamis di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Majlis itu dirasmikan Hamidah yang mewakili suaminya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Timbalan Perdana Menteri terpaksa menghadiri program bagi mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Kuala Lumpur.

Hadir sama, Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Ikhtisas Wanita, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Menurut Mohamad Fuzi, PDRM sentiasa mendukung segala usaha kerajaan untuk memartabatkan kaum wanita dan majlis yang dihadiri isteri Timbalan Perdana Menteri itu adalah salah satu inisiatif bagi menyokong aspirasi ‘Tahun Memperkasa Wanita 2018’.

Katanya, Perkep adalah sebuah persatuan yang amat penting dalam menjayakan program pemerkasaan wanita dan menjadi platform untuk menyatupasukan semua kaum ibu, sama ada isteri polis mahupun pegawai polis wanita serta pegawai awam wanita agar dapat bergerak seiring dalam mencapai matlamat pembangunan negara.

“PDRM akan mengambil langkah mengupayakan kaum wanita selaras dengan peranan mereka sebagai tulang belakang kepada pasukan polis.

“Selain Perkep, Jawatankuasa Pembangunan Pengurusan Polis Wanita (JPPPW) dan Amanita turut menjadi pelengkap kepada usaha PDRM memperkasakan peranan wanita dalam pasukan,” katanya.

Pada majlis itu Hamidah turut menyampaikan sijil penghargaan kepada anggota polis yang berjasa kepada pasukan dan negara serta sumbangan untuk Perkep setiap negeri.

Hamidah juga turut menyampaikan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) dan Anugerah Khas Ikon Perkep Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast