Home Nasional PLUS sedia mesin layan diri untuk Touch ‘n Go.

PLUS sedia mesin layan diri untuk Touch ‘n Go.

PLUS

KUALA LUMPUR – Pengguna lebuh raya PLUS kini tidak perlu lagi mengunjungi Pusat Khidmat Pelanggan atau Lorong Tambah Nilai untuk menambah nilai kad PLUSMiles atau kad Touch ‘n Go.

Ini kerana PLUS menyediakan 32 mesin layan diri (SSK) yang disediakan di kawasan rehat serta plaza tol terpilih di seluruh negara pada ketika ini.

Di R&R, mesin SSK disediakan di lokasi yang strategik seperti berhampiran mesin ATM, medan selera dan lain-lain.

Pada ketika ini, mesin SSK disediakan di R&R Tapah (kedua-dua arah), R&R Seremban (kedua-dua arah), R&R Sungai Perak (kedua-dua arah), R&R Ayer Keroh (kedua-dua arah), R&R Pagoh (kedua-dua arah), R&R Dengkil (arah selatan), R&R Gunung Semanggol (arah utara), Restoran Jejantas Sungai Buloh (kedua-dua arah) dan Hentian Sebelah Simpang Pulai (arah selatan).

Mesin SSK turut disediakan di bangunan pejabat operasi plaza tol terpilih iaitu Jalan Duta, Kota Damansara, Subang, Setia Alam, Bukit Raja, Rawang, Rawang Selatan, Bukit Beruntung, Tanjung Malim, Bidor, Sungai Besi, Kajang, Nilai, Seafield, USJ dan KLIA.

Untuk kemudahan orang ramai, kesemua mesin SSK tersebut beroperasi 24-jam setiap hari.

Menurut Ketua Pegawai Operasi PLUS, Zakaria Ahmad Zabidi, semua transaksi tambah nilai di mesin SSK tidak akan dikenakan caj tambahan.

Bagi setiap transaksi, pengguna boleh menambah nilai kad PLUSMiles atau Touch ‘n Go dengan nilai pilihan iaitu RM10, RM20, RM50 atau RM100.

Secara puratanya, setiap transaksi tambah nilai di SSK mengambil masa di antara 20 saat hingga 1 minit menerusi 4 langkah mudah iaitu:

Masukkan kad PLUSMiles/Touch‘nGo pada slot pengimbas kad.
Buat pilihan tambah nilai pada skrin
Masukkan wang tunai
Mengambil resit transaksi tambah nilai

Pada ketika ini, terdapat kira-kira 112 mesin SSK di seluruh negara.

Jumlah tersebut merupakan sebahagian daripada 10,000 pusat tambah nilai yang terdapat di seluruh negara termasuk mesin-mesin ATM, pusat membeli-belah, kedai serbaneka 24-jam, stesen minyak dan lain-lain lagi. – MalaysiaGazette