KUALA LUMPUR – Keputusan pilihan raya dipengaruhi oleh pola pengundian, bukannya persempadanan semula, kata Penganalisis Politik, Prof Madya Dr Ahmad Martadha.

Jelasnya, ini kerana jumlah pengundi sama ada memilih Barisan Nasional (BN) atau parti pembangkang berkait rapat dengan kawasan luar bandar atau sebaliknya.

“Persoalan yang utama ialah berkaitan dengan pola pengundian bukan persempadanan semula.

“Isu ini juga tidaklah begitu besar kerana ianya tetap bergantung kepada pola pengundian di kalangan pengundi, kerana kalau kita lihat walaupun di Selangor misalnya memang banyak kawasan yang terlibat Shah Alam, Petaling Jaya, Kepong, tetapi kita juga perlu ingat bahawa kecenderungan pengundi bukan Melayu dan kecenderungan pengundi bandar mereka ini kalau berdasarkan trend yang lalu mengundi pembangkang.

“Jadi tidak banyak perbezaan, kalau ada pun mungkin kecil. Kalau kita lihat di kawasan luar bandar mungkin kecenderungan mengundi itu banyak memihak kepada BN tetapi kita juga teliti jika kawasan itu mempunyai 35 peratus atau lebih pengundi bukan Melayu kecenderungan masih tetap kepada pembangkang,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Semalam Dewan Rakyat meluluskan usul persempadanan semula kawasan pilihan raya bagi Semenanjung Malaysia yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Usul itu diluluskan menerusi undi belah bahagi selepas dibahaskan 14 Ahli Parlimen membabitkan tujuh daripada pihak kerajaan dan tujuh dari pembangkang. Keputusannya 129 Ahli Parlimen bersetuju manakala 80 membantahnya.

Menerusi persempadanan semula itu, tiada pertambahan kerusi bagi kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus menjadikan jumlah kerusi Parlimen kekal 222 kerusi dan 587 kerusi DUN.

Namun, menerusi laporan persempadanan yang diluluskan itu, 12 nama kawasan Parlimen dipinda manakala 29 kawasan lagi membabitkan DUN.

Selain itu jumlah daftar pemilih turut meningkat sebanyak 36 peratus berbanding daftar pemilih yang digunakan pada tahun 2003 iaitu sebanyak 11,379,352 orang.

Tambah Martadha, persempadanan semula yang dilakukan oleh SPR sebagai badan bebas tidak melanggar undang-undang, sebaliknya berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.

“Isu persempadanan semula ini bukan sesuatu perkara yang baru. Ia merupakan perkara yang termaktub dalam perlembagaan setiap 15 tahun perlu ada kajian mengenai persempadanan semula,” kata Pensyarah Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) itu.

Beliau menyifatkan andaian yang dibuat untuk mempertikaikan kesan terhadap persempadanan semula ini sebagai terlalu awal apatah lagi pindaan yang dibuat bukan sahaja melibatkan kawasan yang dimenangi parti pembangkang sahaja.

“Isu ini bukan sahaja melibatkan pembangkang sahaja malah melibatkan kawasan yang dimenangi oleh BN kalau kita lihat lebih 30 kerusi adalah melubatkan BN dan 60 kerusi melibatkan pembangkang.

“Kalau kita nak meneliti apakah impak kepada persempadanan semula masih terlalu awal, kerana masing-masing ada kesan daripada persempadanan semula,” ujar Martadha. -MalaysiaGazette