
KUALA LUMPUR – Polis menerima laporan yang dibuat beberapa individu berhubung perhimpunan haram anjuran badan bukan kerajaan (NGO) propembangkang di luar bangunan Parlimen semalam.
Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, pihaknya akan membuka kertas siasatan bagi kes itu, tetapi sehingga kini polis belum memanggil atau menahan individu yang menyertai perhimpunan itu.
“Kita belum panggil lagi. Tahan pun tidak. Kita perlu teliti apa bentuk kesalahan yang mereka lakukan,” katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan Perkep bersama isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Hamidah Khamis di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas perhimpunan haram dianjurkan Bersih 2.0 di luar bangunan Parlimen semalam, bagi menyerahkan memorandum bantahan berkaitan cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya.
Memorandum itu diserahkan kepada wakil Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia di pintu masuk ke bangunan Parlimen oleh Pengerusi Bersih 2.0 Shahrul Aman Mohd Saari.
Menurut Mohamad Fuzi, polis akan melihat siapa yang terlibat dan mengetuai perhimpunan itu sebelum tindakan wajar diambil.
Katanya, beliau tidak mahu anggotanya bertindak terburu-buru dalam kes itu bagi mengelak daripada dituduh oleh pihak tertentu. – MalaysiaGazette















