Datuk Seri Zambry Abdul Kadir

MENJELANG gendang perang Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) –  Barisan Nasional (BN) harus menumpukan kepada kerusi-kerusi majoriti mudah dengan lebih agresif terutama di Perak.

Atas kertas, prestasi BN Perak pada PRU-13 lalu menyaksikan tujuh kerusi yang dimenangi BN adalah terdiri daripada kerusi yang dimenangi dengan majoriti tidak melebihi 1,000 undi.

Ia adalah Lubuk Merbau (53 undi). Manjoi (132), Manong (231), Pasir Panjang (304), Selama (519), Rungkup (613) dan Kamunting (887).

Justeru Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir perlu memastikan kerusi-kerusi majoriti mudah itu bukan sahaja kekal tetapi majoritinya bertambah.

Mengikut percaturan Pakatan Harapan (PH) pula, gabungan pembangkang ditilik dapat merampas negeri berkenaan jika berlaku pertembungan tiga penjuru di 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurut mentor DAP, Lim Kit Siang, sekiranya pertembungan tiga penjuru menjadi kenyataan pasti akan berlaku peralihan undi daripada BN kepada PH sebanyak 10 peratus undi Melayu, lima peratus undi bukan Melayu kepada PH.

“Kemungkinannya PH menang 39 kerusi, BN menang 20 kerusi dan Pas kosong. Perak akan jadi salah sebuah kerajaan negeri yang jatuh kepada PH pada PRU-14,” katanya pada satu ceramah di Parit Buntar baru-baru ini.

Jadi, jangan pandang enteng impian PH itu terutama DAP.

Apa pun BN Perak harus lebih menggerakkan usaha lebih bagi kerusi majoriti mudah ini demi memastikan penguasaan BN terus kukuh.

Mana tidaknya, penguasaan selama 11 bulan pembangkang di negeri itu sudah cukup menjadikan situasi politik di Negeri Labu Sayung itu bercelaru perlu dijadikan pengajaran.

Namun aura daripada PRK Kuala Kangsar menaikkan semula semangat namun ia bukan indikator kepada pilihan raya umum kali ini.

Zambry pernah berkata, impian besar PH untuk merampas Perak dan dicanangkan dalam setiap ceramah satu perkara biasa sebagai strategi perang namun ia tidak menganggu kerja kuat dan keyakinan BN negeri. -MalaysiaGazette.