Datuk Seri Hasan Arifin menjelaskan dakwaan laporan Jabatan Audit Negara berkenaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebelum ini telah dipinda atas arahan pihak tertentu, tidak berlaku ketika beliau menjadi pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
Datuk Seri Hasan Arifin

ROMPIN – Ketua UMNO Bahagian Rompin, Datuk Seri Hasan Ariffin menyerahkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak untuk meletakkan sesiapa sahaja yang dianggap sesuai untuk dicalonkan mewakili BN untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman.

Tambah Ahli Parlimen Rompin itu, Najib tentunya mempunyai maklumat yang tepat mengenai senarai calon yang akan dimuktamadkan bagi mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Calon DUN Tioman terpulang kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak.

“Terpulang kepada pucuk pimpinan (samada nak siapa di DUN Tioman),” katanya dalam majlis Jelajah Pendidikan Anak Rompin di Sekolah Menengah Kebangsaan Rompin hari ini.

DUN Tioman yang berada di Parlimen Rompin tiba-tiba menjadi perhatian media apabila ada pihak dalam kalangan akar umbi bertindak menolak penyandangnya, Datuk Mohamad Johari Hussain.

Mereka mendesak agar Johari digugurkan sebagai calon dan secara terbuka mempertikaikan prestasi wakil rakyat selama dua penggal itu.

“Kami pengundi DUN Tioman menolak sekeras-kerasnya kepimpinan Datuk Johari Hussain sebagai calon PRU14.

“Pilih Datuk Johari rakyat Rompin menderita. Buang Datuk Johari rakyat bahagia. Datuk Johari pengkhianat kepada pengundi DUN Tioman,” tulis beberapa kain rentang yang dinaikkan minggu lalu oleh mereka yang didakwa kecewa dengan Johari.

Awal hari ini, Presiden Veteran UMNO kawasan itu, Datuk Abd Rahim Ibrahim bersedia menggerakkan kempen untuk menolak Johari sekiranya beliau masih dinamakan sebagai calon BN kali ini.

“Kalau dia masih jadi calon DUN Tioman, saya tidak akan sokong dan akan jalankan kempen untuk tolak dan jangan undi BN. Selagi tidak dia, kami akan undi calon lain.

“Saya sedia untuk berkempen untuk pengundi tolak dia semasa PRU akan datang,” katanya. -MalaysiaGazette

http://malaysiagazette.com/blog/2018/03/31/veteran-umno-tioman-sedia-berkempen-tolak-johari/