Home Nasional Bukan salah SUKE paip pecah, Syabas betulkan kenyataan

Bukan salah SUKE paip pecah, Syabas betulkan kenyataan

KUALA LUMPUR – Pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (Suke) menafikan dakwaan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) kononnya paip pecah berhampiran Dataran Ukay pada awal pagi semalam berpunca daripada kecuaian mereka.

Menurut kenyataan SUKE kepada MalaysiaGazette, tidak ada sebarang kerja-kerja pembinaan yang dilakukan selepas insiden kren jatuh sebelum ini.

“Pihak Syabas juga telah membetulkan kenyataan yang dikeluarkan oleh mereka dan menarik balik kenyataan awal menyalahkan kecuaian kontraktor,” katanya.

Dalam pada itu, Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (Prolintas) juga menafikan kejadian paip pecah berhampiran Dataran Ukay pada pukul 6.45 pagi hari ini berpunca daripada kerja-kerja pembinaan Suke.

Prolintas dalam kenyataannya berkata, mengikut laporan awal diterima, kejadian paip pecah tersebut berpunca dari kerosakan paip yang uzur dan bukannnya akibat pembinaan projek Suke.

“Tindakan segera oleh agensi bertanggungjawab sedang dilakukan dan orang awam boleh menyalurkan sebarang maklumat dan aduan berhubung pembinaan Lebuhraya Suke boleh salurkan ke talian hotline 1300 88 9922 atau facebook Prolintas Highways,” kata kenyataan itu

Terdahulu, Info Syabas melalui satu kenyataan berkata, insiden paip pecah sehingga menyebabkan kesesakkan hampir lima kilometer di laluan Lebuhraya MRR2 dari arah Ulu Klang kerana kecuaian daripada kontraktor pembinaan lebuhraya berkenaan.

Syabas turut memberitahu berikutan insiden itu, pihaknya terpaksa menutup sementara bekalan air bagi pelaksanaan kerja-kerja pembaikan paip pecah bersaiz 600mm.

Sebanyak 63 kawasan dengan anggaran 300,000 orang telah terjejas akibat dalam kerja-kerja pembaikan paip pecah tersebut. – MalaysiaGazette