Home Politik Sokongan masyarakat Cina kepada BN semakin kuat

Sokongan masyarakat Cina kepada BN semakin kuat

Chong Sin Woon

SEREMBAN – Sokongan masyarakat Cina kepada Barisan Nasional (BN) kini semakin positif dan kuat, kata Ketua Pemuda MCA Pusat Datuk Chong Sin Woon.

Beliau berkata, kaum itu kini sedar bahawa hanya BN sahaja yang mampu memberikan khidmat terbaik kepada mereka meskipun gabungan tersebut sering dikritik dan ditohmah pembangkang dengan pelbagai isu yang sebenarnya bertujuan mencipta persepsi buruk.

“Pengundi sudah boleh menilai pimpinan kerajaan negeri di Selangor dan Pulau Pinang yang banyak isu timbul sepanjang pemerintahan pihak berkenaan.

“Kebanyakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kaum Cina termasuk di Seremban telah menunjukkan sokongan penuh terhadap BN ,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program E-Sport Mobile Legend di sini, hari ini.

Menyentuh isu kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya, Chong yang juga Timbalan Menteri Pendidikan berkata, ia tidak memberi perubahan yang besar kerana hanya melibatkan perubahan tempat mengundi bagi pemilih serta pertukaran nama beberapa kawasan parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Ini sesekali tidak akan menjejaskan sokongan pengundi kepada BN… tetapi pembangkang akan cuba bermain emosi dengan perkara ini untuk menimbulkan kebencian masyarakat dengan mendakwa pelbagai perkara seperti ia diadakan untuk memberi kelebihan kepada BN.

“Ia tidak benar. Kajian semula persempadanan ini tidak melibatkan pertambahan kerusi pun,” katanya.

Pada Khamis lepas, Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V mengeluarkan titah perintah untuk menguatkuasakan Perintah Perlembagaan Persekutuan (Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya) (Negeri-Negeri Tanah Melayu) 2018.

Usul kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya dibentangkan di Dewan Rakyat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 28 Mac lepas dan menerima sokongan 129 anggota parlimen berbanding 80 yang menolak.

Laporan kajian semula persempadanan itu mengesyorkan tiada pertambahan kerusi bagi kawasan Parlimen dan DUN bermakna kerusi Parlimen dan DUN masing-masing kekal pada 222 dan 587.

Suruhanjaya Pilihan Raya juga mengesyorkan perubahan nama pada 12 kawasan Parlimen dan 28 kawasan DUN di Semenanjung Malaysia dan kali terakhir kajian semula persempadanan itu diadakan pada 2003. – MalaysiaGazette