Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Abdul Mutalib Alias bergambar kenangan bersama sebahagian kakitangan PR1MA pada Majlis Penutup ‘Ekspo Jualan Perumahan– Ke Arah Sejuta Impian, Alami Gaya Hidup Sejahtera’ Edisi Nasional di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 01 APRIL 2018.

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memberi tumpuan kepada agensi seperti Perumahan 1Malaysia (PR1MA) untuk meneruskan projek pembinaan rumah mampu milik di seluruh negara.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pembinaan rumah itu ditumpukan khusus di kawasan bandar kerana di situ banyak berlaku penghijrahan masyarakat luar bandar ke bandar untuk mencari pekerjaan.

“Apabila mereka berhijrah ke bandar untuk bekerja, mereka tidak mempuyai tempat untuk tinggal. Di sini, PR1MA memainkan peranan dalam menyediakan rumah mampu milik untuk dibeli oleh golongan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmi penutup Ekspo Jualan Perumahan Edisi Nasional di Dewan Tun Abdul Razak I di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Menurut Johari, kerajaan melalui PR1MA sentiasa prihatin dengan masalah dihadapi golongan berkenaan dan membina rumah mampu milik bagi memberi peluang kepada mereka membeli kediaman itu.

Menjawab pertanyaan wartawan, beliau berkata, sehingga kini sebanyak 1,496 daripada 60,000 unit rumah mampu milik telah berjaya dijual.

Katanya, jumlah itu agak kecil berikutan ramai pemohon berdepan masalah pinjaman dengan institusi kewangan seperti nama disenarai hitam dan sebagainya yang menghalang pihak bank meluluskan pinjaman.

“Jadi, kita akan berbincang dengan institusi-institusi kewangan mengenai perkara ini dan menampakkan positif apabila ada institusi kewangan sekarang ini mengeluarkan produk yang pada dahulunya memang tidak wujud.

“Sekarang ada banak-bank tertentu mewujudkan pelbagai inisiatif kepada orang ramai untuk membuat pinjaman pembelian rumah ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast