SEPANG, 30 Mei -- Pendaki solo Gunung Everest tertua Malaysia, James Lee Chong Meng bercakap kepada media sekembalinya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dari Kathmandu malam ini selepas menamatkan Ekspedisi Lions Mount Everest Expedition 2017 baru-baru ini. James bagaimanapun gagal menamatkan misi beliau apabila mengalami kesakitan di dada pada 21 Mei lepas. --fotoBERNAMA (2017) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR – James Lee Chong Meng, pendaki gunung tertua Malaysia, yang sedang melakukan cubaan kali ketiga untuk menawan puncak Gunung Everest, tiba di Lukla, di timur laut Nepal hari ini.

Jurucakap pendaki itu berkata Lee, 70, bertolak ke Kathmandu semalam dengan diiringi sekumpulan CEO Vistage untuk melakukan pendakian ke Kem Induk Everest (EBC).

Dalam cubaan kali pertamanya pada Mei 2016, Lee terpaksa membatalkan pendakian pada peringkat terakhir di Kem 3 yang terletak pada ketinggian 7,200m akibat cuaca buruk.

Dalam cubaan kali kedua pula, Lee tidak dapat meneruskan misinya apabila mengalami sakit dada dan masalah bernafas di Kem 2 pada ketinggian 5,545m.

Everest adalah gunung tertinggi di dunia dengan ketinggian 8,848m.

Misi yang dikenali sebagai Mount Everest Summit Challenge ditaja Scientex Berhad.

Lee membawa dua mesej melalui misi itu. Pertama untuk menggalakkan rakyat daripada semua lapisan usia supaya memanfaatkan kesihatan untuk bergerak aktif dalam masyarakat dan kedua, menarik perhatian orang ramai tentang keperluan memulihara alam sekitar. – BERNAMA