Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S.Subramaniam (tengah) menyerahkan surat setuju terima kepada Wakil Jabatan Pendidikan Selangor, Muhammad Shahrul Nizam Ismail (empat kiri) pada Majlis Penyerahan Cek Peruntukan Penyenggaraan Khas SJK(T) Tahun 2017 Fasa 2 dan Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) bagi SJK(T) Ke-530 (SJKT PJS 1) di Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu, Lembah Pantai, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 02 APRIL 2018.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri turut berkongsi kebimbangan MIC untuk mencapai sasaran tujuh peratus pelajar India memasuki Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPT), kata Datuk Seri S. Subramaniam.

Menteri Kesihatan itu berkata, atas keprihatinan, Datuk Seri Najib Razak segera bersetuju dengan cadangan MIC yang mahu kerajaan mengkaji untuk menambah bilangan tempat dan bidang pengajian baharu bagi pelajar kaum India ke IPTA termasuk matrikulasi.

“Najib (dalam pertemuan dengan MIC) serta merta menyatakan kesanggupannya untuk menambah bilangan tersebut termasuk kemasukan pelajar ke tingkat enam pada masa depan.

“Dengan penambahan ini, sasaran tujuh peratus itu akan dapat di capai dengan lebih mudah. Kajian sedang dijalankan ketika itu untuk melaksanakan cadangan ini,” katanya  selepas majlis penyampaian Peruntukan Penyelenggaraan Khas Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) fasa kedua sebanyak RM25 juta hari ini.

Subramaniam berkata, ia bukti Perdana Menteri memberi keutamaan kepada perkembangan pendidikan kepada generasi muda India di negara ini.

Beliau juga teruja untuk semangat kerjasama Najib yang begitu mendahulukan kepentingan masyarakat India di negara ini.

“Selama ini, kerajaan mempunyai dana yang mencukupi namun hanya di bawah kepimpinan beliau (Najib) nasib kita terbela.

“Masyarakat India perlu tampil menerima kenyataan ini dan perlu tahu kebenaran. Hakikatnya, Najib banyak berdepan dengan pelbagai cabaran kerana seringkali mendahulukan masyarakat India demi masa depan kita dan beliau sentiasa tampil berani.

“Apa sahaja permintaan kita, cadangan serta pandangan, semuanya diberi perhatian serius oleh beliau (Najib) Cakap tentang sekolah Tamil, hampir RM1 bilion sudah disalurkan,” katanya.

Justeru, Subramaniam mahu masyarakat India berhenti mendengar fitnah yang disebarkan mengenai Najib.

“Henti dengar cakap kosong dan terima hakikat siapa sebenarnya yang banyak berjasa untuk kita,” tegasnya.

Sebelum itu, dana sebanyak RM25 juta telah diagihkan kepada 284 buah seolah SJKT seluruh negara selepas Najib memperuntukan RM50 juta bagi penyelenggaran kecil pada Bajet 2017.

Sebanyak RM25 juta telah diberikan pada fasa 1 pada tahun lalu dan ia turut dimanfaatkan oleh 158 buah sekolah seluruh negara.

Fasa kedua pula, Subramaniam berkata, sebanyak 284 buah sekolah akan menerima bantuan kerajaan baik bagi kerja baik pulih serta kemudahan lain untuk keselesaan.- MalaysiaGazette