Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor (tengah) menerima kucupan dari salah seorang murid autisme, Amsyar Lutfan Mohamad Amin ketika mengunjungi bekas murid Permata Kurnia sempena Hari Kesedaran Autisme Sedunia di Sekolah Kebangsaan Taman Koperasi Polis Fasa 2, Batu Caves. foto FAREEZ FADZIL, 02 APRIL 2018

GOMBAK – Isteri Perdana Menteri mengharapkan pendidikan kanak-kanak autisme terus terjamin seperti kanak-kanak lain.

Datin Seri Rosmah Mansor berkata, setakat ini lebih 334 bekas murid Permata Kurnia berjaya menamatkan pendidikan dan 123 daripadanya berjaya diterima ke sekolah aliran perdana sesi pra-sekolah dan darjah satu tahun 2017 dan 2018.

Rosmah mengakui para ibu bapa termasuk Permata Kurnia dan guru-guru sekolah sedang menghadapi satu fenomena baharu dalam memahami ciri-ciri autisme dan ibu bapa sudah mempunyai pemahaman serta kematangan untuk menerima hakikat bahawa anak mereka mengalami autisme.

“Menerusi hasil perbincangan mencadangkan supaya lebih ramai anak-anak autisme di negara ini menjalani Ujian Skala Kepintaran Kanak-Kanak sebelum diterima masuk ke sekolah aliran perdana.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor (dua kiri) ketika hadir mengunjungi bekas murid-murid Permata Kurnia sempena Hari Kesedaran Autisme Sedunia di Sekolah Kebangsaan Taman Koperasi Polis Fasa 2, Batu Caves. foto FAREEZ FADZIL, 02 APRIL 2018

“Saya juga mahu apa yang dilakukan di sekolah perlu diteruskan di rumah oleh ibu bapa supaya kita bersama-sama menjamin kehidupan anak-anak autisme,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau meluangkan masa kira-kira setengah jam bersama bekas kanak-kanak autisme Permata Kurnia di kelas Tahun Satu Sekolah Kebangsaan Taman Koperasi Polis, Batu Caves di sini.

Tambahnya, inisiatif dan pelaburan Permata Kurnia dalam membela kanak-kanak autisme supaya membesar sebagai insan normal bukan agenda kosong atau rancangan yang gagal.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor (tengah) berbual mesra dengan salah seorang murid autisme ketika mengunjungi bekas murid Permata Kurnia sempena Hari Kesedaran Autisme Sedunia di Sekolah Kebangsaan Taman Koperasi Polis Fasa 2, Batu Caves. foto FAREEZ FADZIL, 02 APRIL 2018

“Mana ada agenda kosong, kalau agenda kosong lama sudah Datuk Seri Najib suruh berhenti, buang duit sahaja. Pada saya ia telah membuka mata program kita telah berjaya dan masyarakat semakin menerima ciri-ciri autisme ini,” katanya.

Rosmah juga menegaskan kanak-kanak autisme lebih hiperaktif, dan lain daripada kanak-kanak biasa.

Ia merupakan cabaran yang perlu diharungi bukan sahaja ibu bapa dan di Permata Kurnia anak-anak ini dilindungi dan dijamin kehidupan baik.

Malah, jelas beliau, pihaknya menjalin kerjasama dan belajar dari negara maju antaranya berbincang menerima nasihat dari Autisme Speed daripada New York untuk meneruskan Permata Kurnia berkenaan.

“Lagipun program ini perlulah dibuat secara perlahan-lahan kerana ia sememangnya menelan kos perbelanjaan yang tinggi,” tegasnya.

Tahun ini dua lagi Pusat Permata Kurnia akan dibuka di Alor Setar, Kedah dan di Bukit Katil Melaka pada tahun 2019. – MalaysiaGazette