KUALA LUMPUR – Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar mendakwa Datuk Seri Mohamed Azmin Ali cuba memberi maklumat tidak betul berhubung projek Rumah Selangorku.
Beliau berkata, Menteri Besar Selangor itu meletakkan dasar yang sukar dipenuhi oleh pemaju apabila menggunakan pendekatan memaksa dan mengenakan pelbagai syarat yang ketat.
“Saya tengok Mohamed Azmin ni cuba bagi maklumat yang tak betul… soal perumahan Rumah Selangorku ini beliau sebenarnya tidak berani usahakan, dia hanya cakap tak serupa bikin.
“Mana ada kerajaan negeri keluar duit untuk bina Rumah Selangorku? Kerajaan negeri tidak sekali-kali keluarkan duit. Dia hanya meletakkan dasar dan dia paksa pemaju buat, kemudian dia meletakkan pelbagai syarat dan pelbagai caj kepada pemaju. Mana pemaju mampu,” katanya di sini, semalam.
Beliau berkata, apabila pemaju dipaksa membina projek Rumah Selangorku, dua kesan yang akan berlaku, iaitu pemaju yang mampu akan teruskan projek itu, tetapi terpaksa menaikkan harga rumah.
“Bagi pemaju yang tidak mampu dan menganggap projek itu merugikan, mereka tidak akan teruskan projek itu.
“Sebab itu saya tidak hairan kalau sembilan syarikat pemaju yang membatalkan projek Rumah Selangorku sebagaimana diumumkan anggota Exco kerajaan negeri baru-baru ini,” kata Noh.
Namun menurut Noh, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, jika Barisan Nasional (BN) negeri itu menang pilihan raya umum ini, beliau merancang untuk mebina lebih banyak perumahan untuk rakyat.
“Saya ada pengalaman di kementerian ini, saya nampak bagaimana kerajaan hendak tolong rakyat. Kita tidak boleh bergantung kepada pemaju sahaja, kerajaan mesti mengambil usaha sama ada usaha memotong subsidi, tetapi memberi (menjual) rumah yang murah kepada rakyat.
“Saya sudah umum semalam, kita hendak bina kira-kira 6,000 unit rumah transit belia di tanah kementerian ini di Rawang. Saya harap kerajaan negeri akan beri kerjasama. Jangan nak tunjuk kuasa dan jangan salahgunakan kuasa,” katanya. – MalaysiaGazette















