KUALA LUMPUR- Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) menafikan tuduhan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Mohamed Ali yang mengatakan kerajaan persekutuan enggan menyerahkan Loji Rawatan Langat 2 (LRAL2) kepada Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor).

KeTTHA turut memberi amaran kepada kerajaan Selangor supaya bertindak pantas untuk memuktamadkan penstrukturan bekalan air negeri itu bagi membolehkan rakyat Selangor dapat menikmati air bersih berjumlah 565 juta liter sehari (JLH) yang dibekalkan oleh LRAL2.

Jelasnya, kabinet pada 28 Februari lalu memutuskan penyerahan separa LRAL2 oleh Pengurusan Aset Air Bhd. (PAAB) kepada Air Selangor hanya akan dibuat selepas kerajaan negeri memuktamadkan skim penstrukturan bekalan air di negeri itu.

“Kerajaan persekutuan melihat penstrukturan semula bekalan air adalah cara terbaik kepada PAAB untuk membangunkan aset air di samping mengatasi isu-isu berkaitan margin rawatan air yang rendah di Selangor iaitu di antara 0 peratus dan tiga peratus.

“Pada masa yang sama, adalah adil untuk PAAB sebagai pemilik LRAL2 untuk mengutip RM3.7 bilion dalam pelaburan.

“Ini adalah untuk pembinaan loji menerusi sewa pajak yang akan dibayar oleh Air Selangor,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam tadi.

Tambahnya, kerajaan Selangor juga perlu komited di dalam membayar semula pinjaman sebanyak RM1.6 bilion kepada PAAB yang dibuat bagi mengambil alih Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd., Puncak Niaga Sdn. Bhd. dan Konsortium ABBAS Sdn Bhd. di samping Bon Air Selangor bernilai RM6 bilion.

Azmin pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, 28 Mac lalu mendakwa Kerajaan Persekutuan menghalang Selangor membekal air terawat kepada pengguna.

Katanya, Kerajaan Persekutuan membuat keputusan pada 20 Mac lalu untuk tidak membenarkan air terawat LRAL2 dibekalkan oleh Air Selangor kepada pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.-MalaysiaGazette