Recall Bill Azalina Othman Said anti-party hopping recall election
Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Antiberita Tidak Benar 2018 yang diluluskan bukan sebagai sebagai undang-undang draconian.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said juga menyangkal dakwaan yang mengganggap ia undang-undang yang menyekat kebebasan bersuara dan alat kerajaan menjelang PRU-14.

“Ingin saya tegaskan bahawa dakwaan itu sama sekali tidak berasas kerana perkara ini adalah isu global dan beberapa negara luar seperti Jerman, Singapura, Perancis, Republik Czech termasuk Kesatuan Eropah juga telah dan sedang mengambil langkah yang sama bagi membendung penyebaran berita tidak benar.

“RUU ini digubal dengan tujuan untuk melindungi orang awam daripada penyebaran cepat berita tidak benar dan memastikan hak kebebasan bercakap dan bersuara di bawah Perlembagaan Persekutuan dihormati.

“RUU ini adalah berpaksikan rakyat dan bersifat quasi criminal, dimana memperuntukkan kesalahan-kesalahan yang berhubungan dengan berita tidak benar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Azalina, RUU berkenaan juga memberi peluang kepada semua orang untuk mendapat perlindungan melalui permohonan perintah mahkamah sebagaimana terdapat dalam Bahagian III RUU daripada penyebaran berita tidak benar.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada semua ahli-ahli Parlimen di Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang telah mengambil bahagian dalam membahaskan Rang Undang-Undang ini.

Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang menyatakan rasa kecewa apabila terdapat beberapa Ahli Parlimen pembangkang membazirkan peluang perbahasan untuk mengelirukan Dewan dengan mendakwa RUU ini bersifat draconian.

“Dakwaan itu sama sekali tidak benar kerana RUU ini digubal untuk kemashalatan semua dan selaras dengan perkembangan teknologi semasa.

“Saya juga telah menjawab segala isu yang dibangkitkan di Dewan yang mulia ini, justeru saya berharap semua pihak berhenti mempolemikkan RUU ini lagi.

“Malah usaha Kerajaan ini juga selaras dengan Titah Yang Di-Pertuan Agong semasa ucapan pembukaan Dewan yang mulia ini untuk mengekang penyebaran berita palsu, kerana ia akan memberi pengaruh negatif kepada rakyat,” tegas beliau.- MalaysiaGazette