SHAH ALAM, 3 April -- Isteri Bekas Anggota Parlimen Kuala Selangor Mohd Daud Tarihep Zuraidah Abdul Halim menabur bunga di pusara suaminya di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 hari ini. Allahyarham meninggal dunia di Hospital Manjung, Perak akibat komplikasi jantung. --fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

SHAH ALAM – Kematian bekas anggota Parlimen Kuala Selangor, Mohd Daud Tarihep awal pagi tadi disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada UMNO Selangor.

Ketua Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, beliau mengenali Mohd Daud sebagai seorang yang tabah dan lasak dalam menghadapi cabaran dalam dunia politik.

“Arwah merupakan seorang yang sabar dan dedikasi dalam kerjanya, beliau menghadapi pelbagai cabaran dan berkat kesabarannya, beliau dapat menjadi Anggota Parlimen Kuala Selangor pada 2004.

“Walaupun hanya sepenggal dia (Mohd Daud) menjadi anggota Parlimen, beliau telah memberikan khidmat yang terbaik kepada penduduk di sana,” katanya ketika ditemui Bernama selepas menunaikan solat jenazah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.

Mohd Daud, 66, meninggal dunia di Hospital Seri Manjung, Perak pada pukul 2.49 pagi tadi akibat komplikasi jantung selain menghidap kencing manis dan kanser usus.-BERNAMA