KUALA LUMPUR – Penetapan harga syiling tiket penerbangan domestik yang bakal diperkenalkan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) bukan sahaja mengelakkan pemain industri ‘membunuh’ sesama sendiri bahkan ia baik kepada pelancongan tempatan.
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mengalu-alukan cadangan Mavcom itu kerana pemain industri sama ada lama mahu pun baharu tidak menawarkan harga tiket penerbangan murah tanpa kawalan.
“Ia bagus (tambang murah) untuk pelancongan, ia bagus untuk persaingan tapi kadang kala ia ‘membunuh’ sesama sendiri. Harga tambang mesti ada perbandingan, ia tidak sepatutnya harga rendah tidak masuk akal di mana akan membunuh sesama sendiri.
“Dalam perniagaan kalau tiada harga syiling, macam-macam boleh jadi. Dalam perniagaan bila ada orang baru masuk, orang lama nak bunuh yang baru ini, dia mampu untuk pada satu masa sanggup merendahkan harga dia menyebabkan syarikat lain kena gulung tikar.
“Selepas itu, bila dia ambil alih (industri) dia naik balik (harga). Walaupun merendahkan harga itu bagus, tapi jangan sampai rendah sangat yang tidak masuk akal untuk membunuh pesaing lain,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara DS Property Development Sdn Bhd dan Wyndham Hotel Asia Pacific for Dolce Hotel di WOW KL hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab. Aziz Kaprawi pada 19 Mac lalu yang mendedahkan Mavcom sedang mengadakan perbincangan dengan semua pihak terutamanya syarikat-syarikat penerbangan untuk menetapkan harga siling tiket penerbangan domestik.
Ab. Aziz berkata, perbincangan itu antara lain untuk mencadangkan operator penerbangan mengurangkan margin keuntungan masing-masing agar dapat memastikan tiket laluan dijual pada harga lebih murah.
Mohamed Nazri juga berkata, harga syiling tambang penerbangan itu perlu mendapat sokongan daripada semua pemain industri bukan sahaja terpakai oleh syarikat penerbangan kelas ekonomi.
“Biar harga syiling itu adil kepada semua syarikat penerbangan. Bukan saja peringkat atas, peringkat bawah pun kena patuh harga syiling juga.
“Perniagaan ini ialah sangat sengit persaingannya, kadang-kala untuk membunuh pemain industri lain, dengan membuatkan tambang murah. Bila tambang sangat rendah, ia boleh membunuh syarikat penerbangan lain.
“Penerbangan domestik kalau ada harga syiling ia sangat bagus kepada pelancongan bukan sahaja kepada domestik bahkan pelancongan antarabangsa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
https://www.youtube.com/edit?o=U&video_id=ENcfTJ3hS4Q
















