Tiga pelajar perempuan ini mengaku minum ketum dengan niat mahu mencuba.

KUALA LUMPUR – Perbuatan sekumpulan tiga pelajar sebuah sekolah di Kelantan dipercayai sedang minum air ketum telah diambil tindakan siasatan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan (JSJK).

Perbuatan itu yang viral di media sosial sejak semalam dikatakan berlaku pada 1 April lalu kira-kira jam 2 petang di sebuah sekolah menengah kebangsaan yang tidak didedahkan namanya.

Menurut jurucakap JSJK, pihaknya telah menerima maklumat mengenai video berkenaan dan tindakan segera telah diambil oleh semua Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (KBSJN) Daerah untuk menjalankan siasatan berkaitan kejadian itu.

“Mereka semuanya terdiri daripada pelajar tingkatan 3 di sebuah sekolah menengah kebangsaan di Kelantan. Lokasi kejadian adalah di luar kawasan dan waktu persekolahan.

“Soal siasat ke atas pelajar tersebut mendapati punca minuman tersebut diperolehi dengan cara berkongsi duit dan pembelian dengan harga RM10 bagi sebotol air ketum.

“Perbuatan ini kali pertama dilakukan oleh pelajar wanita tersebut. Mereka meminum cecair ketum itu kerana perasaan ingin tahu dan seterusnya mencuba untuk meminumnya,” kata jurucakap itu semalam.

Menurutnya, pihak JSJNK juga sedang mengenal pasti lelaki yang menjual air ketum itu untuk tindakan lanjut dan alamat suspek telah dikenalpasti dan tangkapan akan dibuat dalam tempoh terdekat.

Katanya, hasil semakan rekod disiplin dengan pihak sekolah mendapati semua pelajar perempuan itu tidak mempunyai rekod kesalahan disiplin.

“Adalah diperingatkan kepada semua pelajar, polis dan pihak sekolah memandang serius akan penglibatan dan salah laku mereka terutamanya melibatkan kegiatan meminum air ketum.

“Jika ditangkap boleh didakwa di bawah Seksyen 30(5) Akta Racun 1952, di mana hukuman bagi seksyen ini adalah denda tidak lebih RM10,000 atau penjara empat tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast