
BEIJING – Beijing akan bertindak balas selepas Amerika Syarikat menerbitkan senarai bagi 1,300 produk China yang akan dikenakan tarif sebanyak 25 peratus.
White House berkata, cukai import tambahan yang dicadangkan itu adalah tindak balas kepada tindakan China yang didakwa tidak adil dalam hak harta intelek.
Barang-barang tambahan yang akan dikenakan tarif termasuk produk perubatan, televisyen dan motosikal.
Beijing berkata, negara itu menentang keras amalan tarif.
“Tindakan perlindungan dan tidak realistik itu telah melanggar dasar dan nilai asas Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).
“China akan menggunakan mekanisme penyelesaian WTO dan mengambil langkah, skala dan kekuatan yang sama terhadap produk Amerika Syarikat mengikut undang-undang China,” katanya dalam satu kenyataan.
China berkata, tindakan Amerika Syarikat itu tidak menjadi kepentingan negara dan ekonomi global.
Ahli-ahli ekonomi sebelum ini mengingkatkan bahawa langkah pentadbiran Trump itu akan mendorong Beijing bertindak balas dan menyebabkan kenaikan harga kepada pengguna di negara ekonomi terbesar dunia.
Penyenaraian tambahan tarif itu dikeluarkan selepas China mengenakan tarif sejumlah AS3 bilion ke atas produk import Amerika Syarikat berikutan tindakan pentadbiran Trump mengenakan tarif keluli dan aluminium.
Produk dalam senarai Amerika Syarikat yang diterbitkan pada hari Selasa mewakili import bernilai kira-kira AS$50 bilion setahun.
Tahun lepas barangan import Amerika Syarikat dari China bernilai kira-kira AS$506 bilion. – MalaysiaGazette















