Temubual Eksklusif bersama Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP), Ramesh Rao di Studio Malaysia Gazette, Sungai Besi, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 17 MEI 2017
KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) memberi jaminan tiada seorang pun rakyat Hutan Melintang akan terpinggir daripada manfaat kesihatan dan peluang pendidikan.
Manfaat itu diberi tanpa mengira kaum serta perbezaan fahaman politik jika diberi mandat sekali lagi mentadbir urus Dewan Undangan Negeri (DUN) itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Pemimpin NGO pro-BN, Ramesh Rao berkata, perkara berkenaan lebih mudah dikembalikan kepada rakyat sekiranya pengundi di kerusi N54 itu memberi undi mereka hanya kepada calon BN dan ‘menamatkan kontrak’ wakil rakyat sedia ada daripada PKR, S.Kesavan.

Ramesh selaku Pengerusi Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin berkata, BN optimis untuk melahirkan warga Hutan Melintang yang berjaya dalam semua aspek.

“Ramai penduduk di kawasan ini mempunyai potensi luas dalam pendidikan, sejak dua penggal kawasan ini diwakili oleh ADUN PKR, kebajikan dari soal pendidikan ini tidak diberikan perhatian langsung.

“Ia merupakan antara aduan yang diterima oleh pihak kami daripada mereka yang amat memerlukan bantuan dan kemudahan dalam soal pendidikan,” kata Ramesh dalam satu kenyataan semalam.

Pada 25 Mac lalu, Ramesh telah mengadakan Kem Kesihatan Percuma untuk warga Hutan Melintang bagi membolehkan masyarakat di situ mendapatkan pemeriksaan kesihatan secara percuma.

“Kita sudah berjanji, jika BN berjaya menang semula di Hutan Melintang, kem kesihatan yang kita adakan pada 25 Mac lalu akan diadakan sebanyak dua kali setahun.

“Ini semua berkenaan matlamat kita untuk memastikan rakyat di kawasan ini adalah warga yang sihat,” katanya.

Beliau juga berkata, sejak tiga bulan lalu pihaknya turun padang menyantuni pengundi Hutan Melintang mendapati lebih 1,000 aduan diterima NGO itu khususnya daripada masyarakat kaum India yang didakwa terpinggir daripada soal pembangunan, pendidikan dan kesihatan.

Ramesh berkata lagi, wakil rakyat yang mewakili komuniti Hutan Melintang perlu sentiasa memberikan komitmen sepanjang masa dan bukannya bermusim dan muncul lima tahun sekali, lebih-lebih lagi ketika musim pilihan raya.

DUN Hutan Melintang merupakan kerusi tradisi MIC namun ia gagal dipertahankan selepas tewas di tangan calon PKR, S.Kesavan sejak PRU12 pada 2008 dan PRU-13 pada tahun 2013. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast