Gambar hiasan

KOTA KINABALU – Cuaca panas di Sabah dijangka berterusan selama seminggu lagi, namun suhu masih dalam keadaan normal.

Pengarah Jabatan Meteorologi Sabah, Azemi Daud berkata, suhu maksimum semasa di negeri ini ialah 33 darjah Celcius iaitu normal dan selamat.

“Cuaca panas yang dialami sekarang adalah disebabkan kurang hujan dan angin tenang sejak sebulan lalu.

“Bagaimanapun, ia masih dianggap selamat jika suhu di bawah 35 darjah Celcius,” katanya seperti dilaporkan.

Azemi berkata, Jabatan Meteorologi akan mengeluarkan amaran gelombang haba tahap satu sekiranya kawasan mencatatkan suhu lebih daripada 35 darjah Celcius dalam tempoh tiga hari berturut-turut.

Berdasarkan ramalan cuaca minggu ini menerusi laman web MetMalaysia, negara berhadapan dengan suhu terendah dijangka 22 darjah Celcius dan paling tinggi 33 darjah Celcius dan hujan di satu atau dua tempat. – MalaysiaGazette