KUALA LUMPUR – Hasrat Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang mahu bertanding di Parlimen Johor Bahru disifatkan sebagai ‘baik’ untuk rakyat di Selatan Johor itu.
Ahli Parlimennya, Tan Sri Shahrir Abdul Samad tidak menghalang hasrat Ketua Parlimen DAP itu malah akan memberi peluang kepada rakyat Johor Bharu untuk memilih parti mana yang boleh memperjuangkan kepentingan pengundi pelbagai kaum.
“Mungkin rakyat boleh membuat pilihan daripada dua jenis politik dan pentadbiran di dua negeri yang dimenangi sebelum ini. Ia juga bagus untuk pengundi Johor Bharu.
“Ini kerana pola pengundi di Johor Bharu gambaran kepada kemajmukan penduduk dii Malaysia di mana 52 peratus adalah Melayu, 40 peratus-Cina dan 10 peratus-India,” katanya pada sidang media selepas merasmikan buku bertajuk: Malaysia Tanpa BN? di bangunan Parlimen hari ini.
Beliau mengulas hasrat penyandang Parlimen Gelang Patah, Kit Siang yang mahu bertanding di Parlimen Johor Bharu susulan Shahrir sebelum ini tidak berhasrat mempertahankan kawasan itu pada PRU-14.
Shahrir merupakan penyandang kerusi Parlimen Johor Bharu selama tujuh penggal sejak tahun 1978 hingga kini kecuali tahun 1990 hingga tahun 1999 yang disandang oleh bekas setiausaha politiknya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Shahrir juga tidak menolak kemungkinan Kit Siang akan meneruskan hasratnya bertanding di kerusi Parlimen Johor Bharu susulan veteran DAP pernah melakukannya di Parlimen Gelang Patah pada PRU-13.
“Saya tanya Kit Siang, ini kerusi PKR. Tapi saya kata, apa DAP nak, pasti dapat, macam Parlimen Gelang Patah. Saya yakin…saya tiada tentangan (cabaran bertanding),” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















