Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) diiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (kiri) bergambar kenangan bersama penjawab awam pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Keenam Belas (MAPPA XVI) 2018 di PICC, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 04 APRIL 2018.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri hari ini mengumumkan kenaikan gaji dan elaun kepada kira-kira 1.6 juta penjawat awam berkuatkuasa 1 Julai ini.

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pemberian itu sebagai tanda penghargaan kerajaan kepada peranan, tugasan dan tanggungjawab penjawat awam dalam pembangunan ekonomi dan sosio negara.

Beliau turut mengumumkan beberapa pemberian insentif seperti kenaikan pangkat kepada kumpulan pelaksana dan guru, di samping penambahan imbuhan sebanyak satu peratus lagi kepada kira-kira 800,000 pesara.

“Sepanjang sembilan tahun saya sebagai Perdana Menteri, saya sentiasa mengutamakan kepentingan dan kebajikan penjawat awam dalam pentadbiran saya.

“Bagi saya penjawat awam adalah setia kerajaan dan saya akan sentiasa membalas jasa mereka. Saya akan lakukan sehabis baik (sebaik mungkin),” katanya berucap pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-16 di Pusat Konvensyen Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid dan kira-kira 10,000 penjawat awam dari seluruh negara.

Menurut Perdana Menteri, penjawat awam wajib wala’ kepada pemimpin kerana kerajaan yang ditadbir ini adalah sah sebab dipilih oleh rakyat melalui sistem pilihan raya.

Katanya, beliau sentiasa bersikap terbuka dan bersedia menerima apa saja teguran yang dapat membangun dan membina negara, bukan teguran berunsur fitnah yang boleh mengaibkan seseorang pemimpin.

“Nak tegur pentadbiran saya, boleh. Saya alu-alukan. Tapi jangan teguran yang disulami dengan fitnah yang boleh mengaibkan dan bertujuan merosakkan nama baik seseorang,” katanya.

Beliau turut menzahirkan rasa kecewa dengan perancangan pembangkang dari Pakatan Harapan (PH) yang hendak mengurangkan jumlah penjawat awam daripada 1.6 juta kepada kira-kira 400,000 orang sahaja jika mereka berjaya mengambil alih pentadbiran kerajaan Persekutuan.

“Maknanya seramai 1.2 juta penjawat awam akan kehilangan pekerjaan dalam sekelip mata dan kehidupan mereka terumbang ambing mencari rezeki untuk menyara keluarga.

“Selain itu, PH juga memperlekehkan penjawat awam dengan menyamakan golongan ini sebagai kucing kurap.

“Tapi kerajaan Barisan Nasional (BN) hari ini sangat prihatin dan sentiasa menjaga nasib dan masa depan penjawat awam dengan menyediakan pelbagai insentif dan inisiatif untuk meningkatkan daya hidup mereka,” kata Najib.

Dalam ucapannya juga Najib turut mengumumkan pemberian cuti tanpa rekod selama tujuh hari kepada penjawat awam pelbagai agama iaitu untuk menunaikan umrah bagi yang beragama Islam dan aktiviti keagamaan bagi yang bukan beragama Islam. – MalaysiaGazette