Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.
Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail gembira sekiranya Pakatan Harapan (PH) memutuskan untuk menggunakan logo mereka pada PRU-14 kelak.

Malah katanya, perkara itu akan dimuktamadkan pada mesyuarat Majlis Presiden PH minggu depan.

“Kita gembira kalau PH guna logo PKR,” katanya dalam sidang media selepas mengumumkan calon muda PKR pada PRU-14 ini di sini malam tadi.

Isu penggunaan logo PKR tercetus apabila kelulusan logo bersama PH oleh Pendaftar Pertubuhan yang masih belum diluluskan.

Idea untuk menggunakan logo PKR tercetus atas dasar parti itu dianggap pilihan paling selamat dan tidak mencetuskan keresahan pengundi terutama yang berbangsa Melayu.

Ditanya mengenai keresahan daripada akar umbi DAP yang menolak penggunaan logo PKR itu diperingkat PRU-14 kelak, Presiden PH berkata, perkara itu akan turut diputuskan pada mesyuarat Majlis Presiden yang akan dihadirinya.

“Kita tahu sentimen dan kita faham tetapi kriteria atas kebijaksanaan dan kita akan pilih bersama,” katanya lagi.

Pengerusi PH, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum ini mengatakan gabungan itu akan memilih logo salah satu parti komponen untuk digunakan oleh semua bagi menunjukkan satu identiti. -MalaysiaGazette