Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail bergambar kenangan bersama Calon Angkatan Muda Keadilan pada Majlis Pengumuman Calon Angkatan Muda Keadilan PRU-14 di Pusat Khidmat Rakyat PKR Setiawangsa, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 04 APRIL 2018.

KUALA LUMPUR – PKR mengumumkan empat nama daripada orang muda parti itu untuk dinamakan sebagai calon PRU-14 malam tadi.

Bagaimanapun, keempat-empat calon berkenaan tidak dinyatakan kerusi samada untuk bertanding kerusi Parlimen mahu pun Dewan Undangan Negeri (DUN).

Perkara itu diumumkan Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dalam satu majlis di Setiawangsa sebentar tadi.

Nama yang disebut adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Pengarah Komunikasi PKR, Ahmad Fahmi Fadzil.

Fahmi ketika ditemui berkata, dia sendiri belum tahu lagi dimana dia akan bertanding.

Jawab Fahmi; ‘Saya akan bertanding di tempat saya buat kerja’.

Calon Angkatan Muda Keadilan, Fahmi Fadzil pada Majlis Pengumuman Calon Angkatan Muda Keadilan PRU-14 di Pusat Khidmat Rakyat PKR Setiawangsa, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 04 APRIL 2018

Desas-desus kuat menyatakan Fahmi akan diberikan kerusi Lembah Pantai, milik Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Nik Nazmi akan bertanding di kerusi Parlimen Setiawangsa milik BN.

Dua lagi calon PKR yang akan bertanding pada PRU-14 adalah Naib Ketua Pemuda PKR, Sandrea Ng Shy Ching dan Ketua PKR Sabah, Raymond Ahuar.

“Belum masanya menyatakan mana mereka bertanding tetapi kita sudah bincang untuk letak empat calon ini di kawasan mana,” kata Wan Azizah pada sidang media selepas mengumumkan nama calon parti PKR Fasa Pertama di Perkarangan Pusat Khidmat Rakyat Setiawangsa, Jalam Rampai Niaga.- MalaysiaGazette