KUALA LUMPUR – Tindakan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyenaraihitam peminjam di Jabatan Imigesen Malaysia (JIM) bukan untuk menghukum, menindas atau membebankan mereka.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Mary Yap Kain Ching berkata, tindakan itu lebih kepada membantu dan mendidik peminjam memulakan langkah membayar balik pinjaman secara konsisten bagi mengelak mereka menerima bebanan yang lebih tinggi pada masa akan datang.
“Langkah ini merupakan langkah terakhir PTPTN setelah notis bayaran balik dan notis peringatan dihantar kepada peminjam. Ia hanya akan dikenakan kepada peminjam yang mempunyai tunggakan selama enam bulan dan ke atas.
“Tempoh itu adalah grace period 12 bulan yang diberikan kepada peminjam yang tamat belajar. Sebelum ini grace period itu ialah enam bulan namun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan pelanjutan kepada 12 bulan mulai 1 November 2017,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di bangunan Parlimen, di sini, hari ini.
Beliau mengulas pertanyaan bertulis Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang meminta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan prosedur menyenaraihitamkan individu yang gagal membuat pembayaran semula pinjaman PTPTN setelah menamatkan pelajaran.
Mary Yap menjelaskan, PTPTN telah menyediakan pelbagai kemudahan kepada peminjam termasuk mengadakan program #BolehBincang yang membuka ruang kepada peminjam untuk berunding dengan PTPTN.
“Rundingan itu boleh dilakukan sama ada untuk mengurangkan kemampuan sehingga peminjam berumur 60 tahun atau membuat penangguhan bayaran balik sehingga 24 bulan sekiranya peminjam masih belum mendapat pekerjaan,” jelasnya.
Katanya, tindakan menyenaraikan nama di JIM merupakan usaha PTPTN bagi membantu peminjam daripada terus terlupa atau lalai membuat bayaran balik.
“Ini terbukti kerana sehingga Februari 2018, 60 peratus daripada peminjam yang disenaraikan telah tampil membuat rundingan dan membayar balik pinjaman dengan jumlah kutipan sebanyak RM1.84 bilion.
“Jumlah ini dapat menampung kira-kira 76,000 pelajar sehingga mereka tamat pengajian,” katanya.
Prosedur itu selaras dengan Peruntukan Seksyen 22A, Akta PTPTN 1997 (AKTA 566) yang membenarkan PTPTN menyenaraikan peminjam dengan kerjasama JIM. – MalaysiaGazette
















