Dr Ibrahim menyifatkan pemimpin Pas tidak layak memperjuangkan Islam kerana bersikap retorik.
Dr Ibrahim menyifatkan pemimpin Pas tidak layak memperjuangkan Islam kerana bersikap retorik.

KUALA LUMPUR – Pengumuman insentif oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak keatas penjawat awam dan pesara kerajaan adalah bertepatan dengan bahang PRU-14 akan datang.

Presiden Pribumi Perkasa Negara (Perkasa), Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, perkara itu perlu kerana penjawat awam adalah tulang belakang dan penyokong kepada dasar-dasar kerajaan selama ini.

“Sehari dua ini, kerajaan akan dibubar, jadi mengumumkan durian runtuh pada penjawat awam kalau untuk PRU-14 pun apa salahnya.

“Nak hargai penjawat awam insentif tak ada salah. Saya berpendapat ini pilihan raya, sudah tentu Najib umum insentif kepada penjawat awam untuk mereka, bukan sahaja sokong kerajaan parti pemerintah mereka tentu bersyukur,” katanya dalam sidang media petang ini.

Selain itu, menurut Ibrahim,  pelbagai parti di negara ini didakwa mengamalkan sistem ‘pancing undi’ semasa pilihan raya umum.

Ujarnya, sama ada Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), mahu pun Pas, kesemua parti itu akan menggunakan sistem yang sama dalam memastikan parti mereka memenangi PRU-14 ini.

“Bila sebut pancing undi masa pilihan raya setahu saya semua parti terlibat. Semua parti buat cuma persepsi dan rasuah ada dalam pilihan raya.

“Semua kena perinci, kamu ambil duit, kamu undi saya,” katanya.

Kata Ibrahim, perkara itu adalah berdasarkan pengalaman beliau selama 30 yang bertanding di atas kapasiti tiga parti sebelum ini.

Ibrahim pernah bertanding atas tiket BN pada tahun 1986 sebelum berpindah ke Semangat 46 pada tahun 1990 dan Pas pada tahun 2008.

Beliau turut pernah bertanding tiket Bebas pada tahun 2004 dan tahun 2013 lalu.

Malah katanya, perkara sama turut dilakukan Pas bagi memastikan parti itu terus berkuasa di Kelantan.

“Kerajaan memerintah masa pilihan raya buat majlis bagi itu, umum ini Pas cukup marah tetapi Pas perintah Kelantan Pas buat juga.

“Bila mari (datang) pilihan raya perkara itu diamalkan oleh semua parti besar atau kecil samalah orang (parti) kaya bagi lebih yang (parti) miskin bagi sikit,” katanya lagi.-MalaysiaGazette