Syed Rosli Jamalullai

KUALA LUMPUR – Penglibatan anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam operasi bersama polis merupakan prosedur biasa dan tidak perlu dipertikaikan.

Seorang pemerhati politik, Syed Rosli Jamalulail berkata, anggota SPRM kadangkala menyertai serbuan pihak berkuasa secara rawak bagi memastikan tidak ada unsur rasuah dalam sesuatu serbuan.

“SPRM akan memastikan ketika operasi pihak yang ditahan tidak menawarkan rasuah kepada penguat kuasa dan pihak berkuasa tidak meminta rasuah.

“Itu sebab SPRM ada bersama pihak penguat kuasa,” ujarnya dalam satu rakaman video di media sosialnya malam tadi.

Walaupun Syed Rosli tidak menamakan individu yang mempertikaikan perkara itu namun ia sudah tentu melibatkan dakwaan Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar yang mempersoalkan penglibatan SPRM dalam penahanannya di sebuah kelab malam baru-baru ini.

Justeru, Syed Rosli yang ahli UMNO di Pandan itu tidak mahu ada pihak mempolitikkan penglibatan SPRM dalam operasi bersama polis.

Menurutnya, SPRM juga ada menyertai operasi pihak berkuasa lain sebelum ini.

Apa yang berlaku, katanya, mungkin ada pihak yang membuat aduan dan pihak berkuasa bertindak melalui aduan yang diterima.

Pihak SPRM juga, katanya, membantu polis termasuk memastikan ujian air kencing datang daripada mereka yang ditahan.

“Kadang-kadang anggota polis tidak cukup apabila ada sekumpulan orang yang ditahan jadi SPRM bantu mereka seperti memastikan proses mengambil air kencing dilakukan secara betul,” jelasnya.

Jadi, menurutnya, tidak timbul soal SPRM sengaja masuk campur dan ada konspirasi menjatuhkan seseorang dalam serbuan.

Syed Rosli sebelum itu telah menghantar memorandum ke Ibupejabat UMNO mendesak tindakan perlu diambil sekiranya Rizalman didapati bersalah demi baik parti.- MalaysiaGazette

Rizalman persoal penglibatan SPRM dalam penahanannya