Home Nasional RM290j diperuntukan untuk Program 1Malaysia 1Harga

RM290j diperuntukan untuk Program 1Malaysia 1Harga

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM290 juta bagi Program 1Malaysia 1Harga yang bertujuan memastikan rakyat Sarawak, Sabah dan Labuan menikmati barangan keperluan pada harga yang sama seperti di Semenanjung, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Henry Sum Agong berkata, sejak program itu dilaksanakan pada Feb 2013, kerajaan berjaya mengekalkan harga barangan keperluan bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat di dua negeri dan wilayah tersebut.

“Semenjak dilaksanakan, kerajaan telah berjaya mengekalkan harga gula pada RM2.95 sekilogram, tepung gandum RM1.35 sekilogram dan minyak masak RM2.50 sekilogram sama seperti harga di Semenanjung Malaysia,” katanya.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Prof Sim Kui Hian mengenai tahap pencapaian program 1Malaysia 1Harga dalam usaha menyeragamkan harga barangan keperluan bagi meningkatkan kualiti hidup masyarakat luar bandar terutamanya di Sarawak.

Henry berkata selain skim itu, kerajaan turut giat melaksanakan Program Penyeragaman Harga bagi memastikan masyarakat di luar bandar dan pedalaman di Sabah, Sarawak dan Labuan menikmati barangan bersubsidi pada harga kawalan. – MalaysiaGazette