Pendaftar Pertubuhan Malaysia, Surayati Ibrahim menunjukkan kertas kenyataan media pada sidang media mengenai pengeluaran notis 14(5) Akta Pertubuhan 1966 kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Pejabat Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 05 APRIL 2018

PUTRAJAYA – Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) hari ini mengesahkan pembubaran sementara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Ketua Pengarahnya, Suriyati Ibrahim berkata, langkah itu diambil sejajar dengan Seksyen 14 (5) Akta Pertubuhan 1966.

Menurutnya, satu perintah mengenai perkara itu telah dihantar ke pejabat PPBM kira-kira jam 12.30 tengahari tadi.

“Perintah tersebut telah dialamatkan bagi maksud serahan kepada Setiusaha Agung PPBM.

“Pihak PPBM telah sebelum ini dikehendaki menjawab dan menyerahkan kepada saya maklumat-maklumat dan juga dokumen-dokumen sepertimana di dalam perintah menerusi notis bertarikh 28 Februari 2018.

“Notis di bawah Seksyen 14 (2) yang dikeluarkan tersebut adalah suatu notis statutori berdasarkan kuasa pendaftar menurut Akta Pertubuhan 1966,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Suriyati menambah, PPBM telah gagal menyerahkan sepenuhnya segala butir-butir maklumat dan dokumen yang diminta sebagaimana notis yang telah dikeluarkan. menurut Seksyen 14 (2) Akta Pertubuhan 1966.

Sehubungan itu Suriyati berkata, beliau terpaksa mengeluarkan satu perintah pembubaran sementara ke atas PPBM mengikut kuasa sebagai Pemndaftar Pertubuhan.

“Menurut Seksyen 14 (6) Akta Pertubuhan 1966, sekiranya PPBM dalam tempoh tidak lebih dari 30 hari dari tarikh perintah pembubaran sementara ini dikeluarkan, menyerahkan butir-butir maklumat dan dokumen-dokumen seperti yang diperintahkan di dalam notis menurut Seksyen 14 (2) bertarikh 28 Februari 2018, ROS boleh membatalkan perintah pembubaran sementara ini,” tegas beliau.

Bagaimanapun katanya, jika tempoh 30 hari itu tamat dan ada rayuan dibuat selepas tarikh perintah pembubaran berkenaan mengikut Seksyen 14 (7) Akta Pertubuhan 1966, maka perintah tersebut akan menjadi mutlak dan pendaftaran PPBM secara sah akan terbatal. – MalaysiaGazette