Sebahagian pengamal media tidak melepaskan peluang menonton siaran langsung pengumuman khas pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sempena Pilihan Raya Umum Ke14 (PRU14) di hadapan Istana Negara, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 06 APRIL 2018.

KUALA LUMPUR – Seiring dengan pembubaran Parlimen mulai esok, beberapa kerajaan negeri mula mengesahkan mereka bakal mengadap ketua negeri masing-masing bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Terawal, kerajaan negeri Kelantan yang akan membubarkan DUNnya serentak dengan Parlimen, mulai esok.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, beliau akan menghadap Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V bagi memohon perkenan pembubaran DUN.

“Kita mesti (membubarkan DUN) serentak ikut Parlimen. Saya akan pergi menghadap Sultan Kelantan bagi meminta izin sekiranya bubar hari ini.

“Kita akan terus mentadbir sehingga selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), baru ada pentadbiran baru”, katanya.

Sebuah lagi negeri pembangang, Selangor turut akan mengikut jejak yang sama.

Menurut Menteri Besarnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, beliau akan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi menyampaikan nasihat untuk mendapat perkenan Tuanku bagi pembubaran DUN Selangor.

“Saya akan menghadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor pada tarikh yang diperkenankan oleh Tuanku bagi mendapat perkenan Tuanku untuk pembubaran Dewan Negeri Selangor agar proses Pilihan Raya Negeri Selangor ke-14 dapat diadakan,” kata Azmin dalam satu kenyataan hari ini.

Memetik laporan Bernama, Perak akan mengabil tindakan sama apabila Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir merancang mengadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah pagi esok untuk memohon perkenan membubarkan DUN pada hari yang sama.

Bahang Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) semakin hangat terasa apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan Parlimen dibubarkan berkuatkuasa esok.

Perkara itu dinyatakan Najib menerusi pengumuman yang disiarkan secara langsung pada pukul 12.15 tengah hari ini.

Pengumunan tersebut dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V untuk memberi laluan kepada PRU-14.

“Saya menasihatkan kepada ketua-ketua kerajaan negeri yang berkenaan untuk mengadap ketua negeri mereka bagi mendapatkan perkenan pembubaran DUN masing-masing supaya PRU peringkat Parlimen dan DUN dapat diselaraskan dengan serentak di seluruh negara,” kata Najib. – MalaysiaGazette