Home Ekonomi Jangan salah faham konsep gaji wajar – BNM

Jangan salah faham konsep gaji wajar – BNM

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) menjelaskan bahawa rumusan rakyat Malaysia berada dalam kemiskinan berdasarkan analisis Bank Pusat berhubung gaji kehidupan wajar adalah tidak tepat.

Menurutnya, konsep itu perlu difahami dengan mendalam supaya sebarang komen mengenainya tidak tersasar dan menimbulkan kekeliruan.

BNM berkata, gaji kehidupan wajar merupakan tanda aras bagi pendapatan yang diperlukan untuk mendapatkan taraf hidup minimum yang boleh diterima.

Tanda aras ini tidak sepatutnya digunakan untuk menilai tahap kemiskinan.

Katanya, di samping memenuhi keperluan asas, gaji kehidupan wajar juga membuka ruang kepada penyertaan rakyat Malaysia yang bermakna dalam masyarakat, peluang untuk membangunkan diri dan keluarga, dan bebas daripada tekanan kewangan yang teruk.

“Gaji kehidupan wajar berperanan terutamanya sebagai panduan kepada majikan untuk mempertimbangkan agar pekerja dibayar gaji mengikut keperluan taraf hidup minimum yang boleh diterima.

“Gaji kehidupan wajar tidak menggantikan gaji minimum semasa yang masih relevan iaitu sebanyak RM920 sehingga RM1,000 dan gaji minimum adalah terikat dari segi undang-undang dan bertujuan menampung keperluan asas isi rumah,” ujar BNM.

Tambahnya, keupayaan membayar gaji kehidupan wajar perlu dinilai dengan teliti dengan mengambil kira produktiviti pekerja.

Tindakan ini dapat mengelakkan peningkatan kos yang tidak sepatutnya berlaku yang mungkin mendorong kepada kenaikan kadar inflasi. – MalaysiaGazette