Menteri Kesihatan merangkap Presiden MIC, Datuk Seri S. Subramaniam bercakap pada sidang media selepas Majlis Perasmian Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Ladang Bukit Bertam, Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan. foto HAZROL ZAINAL, 26 FEBRUARI 2018.

PUTRAJAYA – MIC akan memuktamadkan kerusi serta calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) selewat-lewatnya minggu depan.

Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, langkah itu diambil sebagai persediaan menjelang PRU14 dan pihaknya kini sedang memperhalusi beberapa kerusi dan calon yang perlu diputuskan menerusi perbincangan di peringkat Barisan Nasional (BN).

“Kita akan memperhalusi beberapa perkara sebagai persiapan menghadapi PRU-14. Jika minggu depan dapat diputuskan, kami akan memuktamadkan kerusi dan calon,” katanya.

Subramaniam memberitahu, MIC kini sudah berada pada tahap 80 peratus persediaan termasuk dari segi kerusi dan calon yang akan diletakkan untuk menghadapi pilihan raya itu.

Katanya, MIC sudah melalui lima tahun yang cemerlang dan tidak sabar menempuh lima tahun akan datang.

Sementara itu, Timbalan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Seri Richad Riot Jaem memberitahu, pihaknya kini sudah bersedia untuk berdepan dengan PRU-14.

“Mesej yang disampaikan semasa mesyuarat Kabinet semalam (Rabu) telah menyatakan dengan jelas apa perlu kami buat selepas ini.

“Apa yang penting pembubaran Parlimen telah diumum dan tunggu sahaja langkah seterusnya,” ujarnya.

Kesemua menteri berkenan ditemui di luar Bangunan Perdana Putra selepas menghadiri pengumuman pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di sini, hari ini. – MalaysiaGazette