Reaksi Pengerusi Pakatan HARAPAN, Tun Dr. Mahathir Mohamad (kanan) berbincang sesuatu dengan Presiden Pakatan Harapan, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail (kiri) pada Himpunan Rakyat Sayangi Malaysia Hapus Kleptokrasi di Padang Timur, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Selangor pada 14 OKTOBER 2017.

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) ketika ini sedang mengatasi Barisan Nasional (BN) berdasarkan rata-rata kajian politik dan undian seterusnya  bakal membentuk kerajaan baharu di Putrajaya.

Presiden PH, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bagaimanapun berkata, dapatan itu hanya dapat direalisasikan dengan sokongan, dokongan dan tindakan berani seluruh rakyat keluar mengundi pada hari mengundi nanti.

“Oleh itu, saya menyeru semua rakyat Malaysia untuk keluar mengundi beramai-ramai bila tiba hari mengundi nanti. Marilah kita laksanakan tanggungjawab kita sebagai warganegara yang berhak mengundi, dan sama-sama meraikan demokrasi.

“Saya juga menyeru seluruh kepimpinan dan jentera PH untuk melipat gandakan usaha kita mendekati Rakyat, menyampaikan warkah Manifesto Harapan dan menceritakan kejayaan-kejayaan Kerajaan Negeri Selangor dan Pulau Pinang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Wan Azizah yang juga Presiden PKR berrkata, hari ini Yang Di-Pertuan Agong telah memberi perkenan untuk membubarkan Parlimen ke-13 yang akan berkuat kuasa esok.

Jelas beliau, menurut Perlembagaan Persekutuan, Suruhanjaya Pilihan Raya seterusnya akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat untuk mengumumkan tarikh-tarikh penting termasuklah hari mengundi untuk PRU-14.

“Ini bermakna telah tiba masanya kuasa memilih kepimpinan negara kembali ke tangan rakyat Malaysia. Gunalah kuasa membuat pilihan yang amat penting ini demi masa depan anak cucu dan generasi akan datang. Kuasa undi saudara bakal menentukan halatuju negara untuk lima tahun ke depan.

“Rakyat akan dapat memilih untuk mansuhkan GST atau kekalkan GST; untuk bersihkan negara dari najis rasuah atau kekalkan yang ada; untuk bina Malaysia yang lebih baik untuk semua atau kekalkan negara di tampuk lama,” kata Ahli Parlimen Permatang Pauh itu. – MalaysiaGazette