LONDON – Sebuah projek pelancongan membabitkan pembinaan terusan di sepanjang sempadan Arab Saudi-Qatar akan dilaksanakan konsortium pelaburan Arab Saudi yang mengandungi sembilan buah syarikat.

Projek tersebut sedang menunggu kelulusan rasmi dan lesen untuk memulakan projek yang dijangka siap dalam tempoh 12 bulan, lapor akhbar dalam talian, Sabq yang dipetik Arab News.

Rancangan itu membabitkan pembinaan terusan bermula dari Salwa ke Khawr Al-Udayd yang akan dipanjangkan ke seluruh pantai timur Arab Saudi.

Berdasarkan sempadan dengan Qatar melebihi 60 kilometer dan hanya darat yang menghalang perdagangan di pantai timur Arab Saudi, ia akan membuka laluan pembangunan pelancongan di kawasan itu memandangkan kawasan tersebut merupakan penghubung penting ke semua Negara-negara Teluk.

Kawasan tersebut dipilih berikutan kepentingannya, selain pantai tidak terusik yang dilihat bebas daripada sebarang gangguan yang akan menghalang pelaksanaan rancangan tersebut.

Kawasan itu tidak mempunyai bukit dan halangan geografi lain untuk menggali dan terusan berkenaan tidak akan melalui kawasan kediaman seperti kampung dan kawasan pertanian dan dijangka menjana semula aktiviti ekonomi.

Saiz terusan yang menghubungkan Salwa dan Khawr Al-Udayd sepanjang 60 kilometer itu adalah 200 meter lebar dengan kedalaman antara 15 meter hingga 20 meter.

Ia akan menerima semua jenis kapal kargo dan penumpang yang panjangnya kurang daripada 295 meter, lebar kurang daripada 233 meter manakala kedalaman kurang daripada 12 meter.

Kos awal projek tersebut dianggarkan berjumlah kira-kira Riyal 2.8 bilion. – Agensi