Rafidah Aziz

KUALA LUMPUR – Kenyataan Tan Sri Rafidah Aziz yang mendakwa pembubaran sementara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak demokratik dibantah oleh Pertubuhan Aduan Rakyat Malaysia.

Presidennya, Datuk M. Chandrakumanan berkata, Rafidah gagal memahami hakikat sebenar bahawa PPBM dibubarkan selepas amaran menerusi notis dikeluarkan dibawah Seksyen 14 (5) Akta Pertubuhan 1966.

Ia ada kaitan dengan kegagalan PPBM mengemukakan maklumat dan dokumen minit mesyuarat cawangan, Bahagian dan majlis tertinggi selain laporan kewangan tahunan parti kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS).

“Sebenarnya PPBM menggali kubur sendiri sehingga mengakibatkan parti itu dibubarkan sementara,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini mengulas kritikan Rafidah yang juga veteran UMNO itu.

Menurut Chandrakumanan, bekas menteri kabinet itu didakwanya sengaja menyalahkan Barisan Nasional dan mengheret Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tanpa memahami kebenaran di sebalik isu berkenaan.

“Saya rasa inilah (kritikan daripada Rafidah) saat yang sebenarnya sengaja dinanti-nanti oleh pengasasnya PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Ia antara karakter tidak baik yang ditunjukkan Rafidah demi kepentingan politik,” katanya.

Datuk A.Chandrakumanan.

Dalam perkembangan sama, Chandrakuman menegaskan, RoS sangat jelas dalam tindakannya yang terpaksa membubarkan PPBM sementara.

Pada 28 Februari lalu, RoS diberi notis bawah Seksyen 14(2) untuk mengemukakan dokumen minit mesyuarat cawangan, bahagian PPBM dan akaun kewangan mereka tetapi parti itu gagal berbuat demikian untuk membolehkan kelulusan Pakatan Harapan.

“Tanpa meneliti kesemua kebenaran itu Rafidah membuta tuli membenarkan emosi dan kesetiaan kepada Tun M mengaburi kebenaran, fakta dan logik disebalik tindakan itu.

“Faktanya, PPBM sengaja menafikan hak dan suara ahli PPBM apabila melanggar perlembagaan parti sendiri serta peraturan RoS dalam pemilihan parti itu.

“Maka PPBM menggali kubur sendiri memusnahkan parti tanpa memahami logiknya, Rafidah boleh mengheret PM atau UMNO dalam perbuatan ‘sampah’ bekas bos sendiri,” bidas beliau.

RoS memberi peluang kedua kepada PPBM untuk mengemukakan segala dokumen yang diperlukan dalam tempoh tambahan 30 hari lagi.- MalaysiaGazette