Pengerusi Gerakan Akar Umbi UMNO Malaysia (GAUM), Datuk Zulkarnain Mahdar (tengah) memegang plakad di luar pekarangan Balai Polis Karamunsing, Sabah, semalam.

KUALA LUMPURĀ – Tun Dr Mahathir Mohamad didesak memohon maaf kepada seluruh rakyat Sabah dan Sarawak kerana mendakwa rakyat di kedua-dua negeri itu pemalas.

Dakwaan Mahathir yang rakyat di kedua-dua negeri itu menebang kayu balak sebagai sumber pendapatan utama dan untuk hidup mewah juga dikecam.

Pengerusi Gerakan Akar Umbi UMNO Malaysia (GAUM), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang di atas penghinaan itu dan satu laporan polis telah dibuat sebagai langkah awal.

“Kami telah membuat laporan polis ke atas Mahathir susulan beliau melabelkan rakyat Sabah dan Sarawak ini mempunyai mentaliti ingin cepat kaya, sebab itu mereka kononnya banyak menebang kayu balak di Sabah dan Sarawak.

“Tun M juga melabelkan kononnnya rakyat Sabah dan Sarawak ini sebagai pemalas. Atas asas apa Tun M kami ini malas?

“Dakwaan Tun M sangat tidak masuk akal dan bertujuan untuk memalukan rakyat Sabah dan Sarawak ini di mata rakan-rakan kita di Semenanjung Malaysia,” katanya pada sidang media di luar pekarangan Balai Polis Karamunsing, Sabah, semalam.

Mahathir dalam satu forum di ibu negara pada Rabu laulu mendakwa Sabah dan Sarawak jauh ketinggalan dari segi pembangunan berbanding negeri lain di Semenanjung kerana masyarakatnya ‘bermentaliti rendah’.

Pengerusi Pakatan Harapan juga mendakwa pemimpin kerajaan negeri di Sabah dan Sarawak bersikap tamak dan mahu meraih wang cepat dengan menjual hasil balak negeri ke luar negara.

Zulkarnain berkata, ketika pentadbiran Mahathir sebagai Perdana Menteri, kebergantungan hasil pendapatan negeri lebih kepada industri pembalakan susulan tiada penerokaan bidang lain seperti hari ini.

“Harus diingat kerajaan Sabah dan Sarawak ketika Tun M menjadi Perdana Menteri tidak mempunyai sumber pendapatan seperti sekarang ini.

“Selepas zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi dan kini Datuk Seri Najib Tun Razak, banyak peluang diberikan kepada dua negeri ini khususnya melantik menteri-menteri dari Sabah dan Sarawak.

“Kita tengok sektor pelancongan di Sabah kini menjadi salah satu sumber pendapatan Sabah seperti Farm Meal terbesar di Lahad Datu, industri minyak dan gas di Kimanis dan Sipitang,” katanya.

Tegasnya, industri pembalakan di Sabah dan Sarawak juga bukan untuk kekayaan individu-individu tertentu sebalikya digunakan untuk kebajikan rakyat di negeri itu.

“Tuduhan rakyat Sabah dan Sarawak mempunyai mentaliti ingin cepat kaya dengan menebak balak satu tuduhan jahat.

“Ia seolah-olah rakyat Sabah dan Sarawak ini tiada pelajaran di mata Tun M. Kenyataan Tun M sudah memalukan seluruh rakyat Sabah dan Sarawak

“Kami akan menghantar surat kepada Tun M untuk memohon maaf kepada seluruh rakyat Sabah dan Sarawak atas tuduhan yang jelik daripada Tun M ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. maksud tun tu siapa. buatĀ² tak tahu pulak dah . harta seluruh dunia ada. itu sebab ada orang Semenanjung nak ikut macam tu . balak tak banyak dia tubuh syarikat . dari syarikat itu ra.ai lah yang kaya raya.

Comments are closed.