KUALA LUMPUR – Kira-kira 500,000 pekebun getah kecil di negara ini akan terus menikmati imbuhan jika Barisan Nasional terus mendapat mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 ini.

Ini kerana harga pengaktifan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) akan dinaikkan demi kebajikan pekebun-pekebun getah.

IPG merupakan bantuan yang diberikan oleh kerajaan sebanyak RM0.10 hingga RM1.45 sekilogram ke atas setiap kilogram cuplump yang dikeluarkan oleh pekebun kecil apabila purata bulanan harga getah gred SMR20 berada di paras RM5.50 sekilogram atau purata bulanan harga cuplump berada di paras RM2.20 sekilogram ke bawah.

Bantuan ke atas lateks turut diberikan pada kadar 90 sen sekilogram.

Perkaran itu terkandung dalam manifesto BN yang dilancarkan oleh Perdana Menteri tadi.

Selain itu, agihan sebanyak RM200 bagi Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) untuk pekebun-pekebun getah juga akan dinaikkan.

BMT kali pertama diperkenalkan oleh kerajaan dalam Bajet 2017 untuk tempoh tiga bulan sepanjang musim tengkujuh pada bulan November, Disember dan Januari bagi mengurangkan beban pekebun.

Sehingga 9 Januari lalu sebanyak 325,366 orang pekebun kecil getah telah menerima manfaat itu.

Inisiatif lain termasuk meminimakan pembabitan orang tengah dalam hasil tani dan perikanan bagi menurunkan harga makanan asas dan meningkatkan pendapatan petani dan nelayan.

Kerajaan juga akan memperluaskan dana Skim Bantuan Tani dan penanaman semula untuk pekebun kecil kelapa sawit, getah, koko dan kenaf.

Selain itu bantuan khas berjumlah RM222 juta untuk peneroka-peneroka Felcra, Kesedar dan Ketengah. – MalaysiaGazette