Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah

ALOR SETAR – Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah sah dibubarkan mulai hari ini selepas mendapat perkenan Sultan Kedah, Sultan Salehhudin Badlishah yang bertemu dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah.

Terdahulu, Ahmad Bashah mengadap sultan di Istana Darul Aman, Kuala Lumpur bagi mendapatkan perkenan untuk pembubaran DUN selaras dengan pengumuman pembubaran Parlimen yang juga berkuatkuasa hari ini.

“Dengan pembubaran DUN, bererti kuasa memilih kerajaan kita pulangkan kepada 1.2 juta pengundi rakyat Kedah,” kata Ahmad Bashah dalam satu kenyataan media hari ini.

Katanya lagi, kerajaan Barisan Nasional (BN) komited untuk terus membawa agenda kemajuan dan pembangunan negeri demi masa depan dan kesejahteraan rakyat.

“Sehubungan itu saya ingin menyatakan di sini, bahawa kami Barisan Nasional tetap komited untuk terus memacu agenda kemajuan negeri Kedah demi masa depan rakyat.

“Menerusi pelbagai dasar merakyat yang sudah digerakkan dan disusun termasuk Plan Pembangunan Kedah 2019-2035 selain Manifesto BN Kedah yang praktikal dan boleh dicapai… kita menjanjikan dasar dasar rakyat yang mudah dilaksana dan impaknya cepat dapat dirasai oleh rakyat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette