Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Setiausaha Barisan Nasional, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mangsor serta barisan kepimpinan parti komponen BN mengibarkan bendera BN bersama penyokong-penyokong BN pada Pelancaran Manifesto Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 07 APRIL 2018

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak meminta rakyat Malaysia menilai prestasi Kerajaan Barisan Nasional secara adil dan menyeluruh.

Mengakui Barisan Nasional bukanlah sebuah kerajaan yang sempurna tanpa cacat cela, tetapi parti yang memimpin kerajaan sepanjang lima tahun ini telah berjaya melaksanakan pembaharuan dan perubahan sesuai dengan kehendak rakyat.

Perdana Menteri berkata, di sebalik krisis ekonomi dunia, kejatuhan harga minyak dan penyusutan nilai ringgit, kerajaan telah melaksanakan hampir 99.4 peratus janji-janji pilihan raya lalu.

Manakala selebihnya sedang dalam pelaksanaan.

“Kami yakin telah memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat dalam perkara keutamaan seperti pendidikan, kesihatan dan keselamatan.

“Di sebalik peningkatan kos perubatan dunia, kerajaan kekal subsidi hampir 95 peratus kos perubatan rakyat.

“Percayalah tidak ada rakyat terabai tanpa sebarang bantuan kerajaan atas sebab kemiskinin. Sebanyak tujuh juta orang menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia walaupun sebahagiannya bukan berada dalam kategori miskin,” katanya dalam naskah manifesto Barisan Nasional.

Pelancaran Manifesto BN untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 bertemakan Bersama Barisan Nasional, Hebatkan Negaraku disempurnakan oleh Najib di Axiata Arena, Bukit Jalil, sebentar tadi.

Manifesto BN itu mengandungi 14 teras utama dengan 364 insiatif.

Katanya, manifesto itu perlu dibaca bersama Rancangan Malaysia Ke-11, Transformasi Nasional 2050 dan bajet-bajet tahunan yang telah dibentangkan.

Najib berkata, meskipun ada tanggapan kawasan-kawasan tertentu diabaikan tetapi perubahan yang dilakukan sudah mula menampak hasil.

Ini membuktikan kerajaan telah berusaha menyusun dan mengagihkan pembangunan lebih adil dan menyeluruh di seluruh negara.

Menuju ke hadapan, kerajaan juga telah bersama-sama segenap lapisan masyarakat tanpa mengira etnik, pegangan agama dan kepercayaan telah merangka Dasar Transformasi Nasional 2030 (TN2030). – MalaysiaGazette