Tan Sri Musa Aman
Musa Aman

KUALA LUMPUR – Rakyat Sabah mampu menarik nafas lega apabila Manifesto Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang dilancarkan pada malam ini turut memberikan tumpuan kepada kepentingan penduduk negeri itu.

Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman berkata, ini merupakan manifesto terbaik dan menyeluruh dengan mengambil kira denyut nadi rakyat Sabah.

“Ini termasuklah memberikan fokus dan perhatian yang khusus kepada kepentingan rakyat Sabah serta Sarawak.

“Sememangnya Hak-hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963, sentiasa diberikan keutamaan yang tinggi oleh pucuk pimpinan negara khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum manifesto ini dilancarkan lagi.

“Penegasan beliau dalam mengembalikan dan memelihara hak dan kepentingan kita dalam MA63 dan diperkuatkan lagi menerusi manifesto ini adalah bukti kesungguhan dan keikhlasan beliau kepada pemimpin dan rakyat Sabah selama  ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran Manifesto BN bertemakan ‘Bersama BN, Hebatkan Negaraku’ di Axiata Arena, Bukit Jalil malam tadi.

Tambah Musa, kaedah konsensus merupakan kaedah dan pendekatan yang dilaksanakan menerusi perundingan dan perbincangan antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan yang banyak membuahkan hasil dan kejayaan sehingga kini.

“Dari segi liputan telekomunikasi dan konsep ‘Satu Negara Satu Harga’, kita percaya ia tentunya memberikan lebih banyak manfaat kepada kepentingan dan kesejahteraan rakyat Sabah.

“Secara kesleuruhan, kita sangat gembira dan berpuas hati. Sokongan rakyat Sabah terhadap kerajaan BN juga akan meningkat kerana pendekatan serta manifesto yang memberi kepentingan kepada kita,” ujarnya. – MalaysiaGazette