Mahfuz Omar

KUALA LUMPUR – Ekoran pendedahan bekas Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar berhubung dakwaan parti itu menerima dana daripada UMNO, Pas Terengganu mencabar Mahfuz agar mengemukakan bukti.

Timbalan Pesuruhjayanya, Saiful Bahri Mamat turut mencabar Mahfuz agar membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan itu.

“Kita cabar dia biar buat laporan SPRM, buat laporan polis biar mereka siasat.

“Sehari dua ini, bekas ahli parlimen Pokok Sena kata UMNO masuk duit kepada Pas Terengganu.

“Dia kata pemegang amanah termasuk saya, kawan-kawan mesej cakap jangan makan seorang,” katanya sebagaimana dipetik.

Media sebelum ini melaporkan Naib Presiden Parti Amanah Negara (PAN) yang baru dilantik itu mendedahkan terdapat tiga orang pemimpin Pas Terengganu menerima wang sebanyak RM1 juta daripada pemimpin UMNO tertentu.

Terdahulu Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan dakwaan terhadap Pas Terengganu sebagai kebudak-budakan.

“Kita nafi, kita ada kes saman mengenai isu RM90 juta terhadap Sarawak Report, insyaAllah kita akan menang dan sudah ada orang tengah pujuk kita untuk tarik balik saman itu,” katanya. -MalaysiaGazette