KUALA LUMPUR – PKR Sabah hari ini mendedahkan wujud ketidakpuasan hati akar umbi di negeri itu berhubung pembahagian kerusi di antara keempat-empat parti dalam Pakatan Harapan sera Parti Warisan Sabah (WARISAN).

Ujar Ketua Angkata Muda Keadilan (AMK) PKR negeri itu, Raymond Ahuar ketidakpuasan hati itu mengakibatkan pertelingkahan antara ketua-ketua cabang.

“Saya telah maklum tentang isu pertelingkahan dan kegusaran beberapa pimpinan Cabang serta pimpinan Negeri berkenaan ketidak puasan hati berhubung isu pembahagian kerusi serta kerjasama dengan parti WARISAN,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Perkara itu,  kata Raymond, memberi risiko kerana  sejarah pilihan raya lalu di mana ketua-ketua cabang meninggalkan PKR kerana tidak berpuas hati dengan pembahagian kerusi.

“Pada PRU-13 lalu ramai antara kita tidak berpuas hati kerana kebanyakan Ketua Cabang tidak diangkat sebagai calon sehingga ada antara mereka keluar meninggalkan parti,” tambahnya.

Seperti mana prinsip bertolak ansur yang pernah diamalkan sebelum ini, beliau menyeru agar menerima keputusan Majlis Pimpinan Negeri yang akan diumumkan kelak secara terbuka.

“Kita melihat bagaimana parti baru dan kerdil seperti KeAdilan diberi ruang oleh sahabat dari DAP dan Pas pada ketika itu untuk memberi ruang PKR meletakkan calon bertanding pada pilihan raya.

“Sehinggakan ada wakil rakyat DAP serta Pas sedia melepaskan kerusi yang dimenanginya demi memberi ruang kepada calon parti kerdil seperti PKR.

“Namun mengapa bila kita berkuasa dan menjadi parti pembangkang paling dominan di negara ini kita menjadi angkuh, ego dan sombong?” soalnya.- MalaysiaGazette