Tan Sri Rafidah Aziz

KUALA LUMPUR – Bekas menteri Kabinet, Tan Sri Rafidah Aziz semakin berani dan lantang bersuara mengkritik pemerintahan Perdana Menteri.

Kali ini beliau membuat dakwaan menerusi surat terbuka bahawa Datuk Seri Najib Razak semasa menjadi Menteri Pertahanan mengesyorkan penswastaan lebih 40,000 hektar tanah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di seluruh negara kepada sebuah syarikat milik yang dimiliki tiga individu.

Tambahnya cadangan pada 2008 itu telah diluluskan dan dilaksanakan oleh kerajaan.

“Saya agak ragu dan telah bertanya kepada Datuk Seri, dalam mesyuarat tersebut mengapa diswastakan kepada syarikat yang tidak langsung diketahui rekodnya.

“Mengapa tidak diswastakan kepada Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang boleh bergabung dengan syarikat-syarikat besar, yang ada rekod prestasi yang terbukti.

“Jawapan Datuk Seri kepada saya, dan disambut oleh PM Abdullah ialah, kita akan bawa masuk LTAT kemudian. Tiada seorang pun menteri lain menyoal Datuk Seri,” kata beliau.

Surat terbuka itu ditulis dan dimuat naik Rafidah di akaun Facebooknya pada malam Ahad.

Penswastaan itu, katanya, mengakibatkan pajakan tanah selama 40 tahun diberikan tanpa tender terbuka dan syarikat yang terbabit mendapat untung berkali ganda.

Justeru beliau menggesa Najib mendedahkan nama tiga individu dan nama syarikat dalam masa sama menggesa Perdana Menteri menjelaskan beberapa projek utama kerajaan jika ia melibatkan tanah tentera yang diswastakan itu.

“Rakyat perlu tahu semua fakta-fakta. Silalah dedahkan untuk pengetahuan awam,”tambahnya.

Antara projek yang disenaraikan dalam surat Rafidah itu ialah Bandar Malaysia yang merupakan bekas lapangan terbang TUDM Sungai Besi, perpindahan kem Majidee, Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL), projek Keretapi Laju KL-Singapura, projek komersil pertanian dan penjualan pengkalan udara TUDM Butterwoth.

Semasa Najib menjadi Menteri Pertahanan, perdana menteri ialah Tun Abdullah Ahmad Badawi manakala Rafidah pula Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.-Malaysiagazette